Kalaulah benar dakwaan Raja Petra Kamaruddin yang akuan bersumpah
penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam yang menuduh Perdana Menteri,
Datuk Seri Najib Tun Razak terlibat dalam kes pembunuhan Altantuya
Shaariibuu dirancang pihak tertentu, maka kita semua rakyat Malaysia
nampaknya telah ditipu hidup-hidup selama ini!
Puaslah kita maki
hamun Najib, puaslah kita kutuk Datin Seri Rosmah Mansor kerana terlalu
marahkan penglibatan mereka berdua dalam pembunuhan Altantuya,
rupa-rupanya ia cuma ‘rekaan dan dogengan’ musuh-musuh politiknya saja,
pergh!
Kelmarin, dalam tulisannya, Raja Petra telah ‘pecah lubang’.
Menurut
beliau, seorang pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahli Parlimen
Subang, R. Sivarasa bersama seorang peguam di sebalik akuan bersumpah
tersebut bagi memfitnah Najib.
Dalam pendedahan
di portal malaysia-today.net itu beliau turut menyebut pembabitan
beberapa pemimpin pembangkang dan peguam yang terlibat dalam merancang
untuk menghasilkan akuan bersumpah berkenaan termasuk M. Puravalen yang
didakwa mempunyai hubungan rapat dengan ahli perniagaan, Datuk Seri
Kalimullah Masheerul Hassan.
Raja Petra mengakui
semua kenyataan yang dibuat Balasubramaniam pada sidang akhbar di Ibu
Pejabat PKR memang telah dirancang lebih awal agar penyiasat
persendirian itu tidak tersalah cakap.
Pada masa
sama Raja Petra mengakui Balasubramaniam dibayar untuk membuat akuan
bersumpah tersebut dan dakwa beliau, perkara itu memang diketahui Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya
bertemu Balasubramaniam 2 Julai 2008 iaitu sehari selepas beliau membuat
akuan bersumpah. Pertemuan itu berlaku selepas saya dihubungi Sivarasa
yang meminta saya pergi ke rumah seorang peguam bagi membincangkan kes
pembunuhan Altantuya.
“Kami berbincang bagaimana
perkara ini perlu ditangani dan apa yang Balasubramaniam perlu cakap
semasa sidang akhbar yang akan dibuat keesokan hari di Ibu Pejabat PKR,”
dakwanya sebagaimana dipetik dari malaysia-today.net.
Pada
1 Julai 2008, Balasubramaniam mengejutkan negara apabila mengeluarkan
akuan bersumpah mengaitkan Perdana Menteri dalam pembunuhan tersebut
tetapi selang dua hari kemudian penyiasat persendirian itu membatalkan
akuan bersumpah berkenaan.
Dalam pada itu, Raja
Petra mendakwa Anwar telah mengarahkan seorang tauke Cina membayar
kepada Balasubramaniam sebanyak RM20,000 sebulan bagi memastikan
penyiasat persendirian tersebut terus menyokong pembangkang.
Katanya,
langkah itu diambil selepas Balasubramaniam dikatakan sedang melakukan
rundingan rahsia bagi membolehkan beliau mendapat bayaran RM5 juta
menyebabkan Anwar bimbang jika penyiasat persendirian tersebut
membongkar rahsia mereka.
Nampaknya dakwaan Raja Petra itu perlu diberi perhatian sewajarnya oleh pihak berkuasa terutama polis.
Polis
perlu menyiasat dakwaan Raja Petra ini, kalau Raja Petra BOHONG, cari
dia walau sampai lubang cacing sekali pun, dan sekiranya ia BENAR,
nama-nama yang disebutnya itu perlu segera diheret ke muka pengadilan.
Cukup-cukuplah perbuatan fitnah yang semakin menjadi-jadi dalam kalangan masyarakat Islam mutakhir ini.
Perbuatan
sebegini melambangkan betapa rendahnya moral pelaku yang sanggup
menghancurkan maruah orang lain dengan menolak segala pertimbangan dan
rasional akal yang dianugerahkan Allah SWT.
Kalau pun sesuatu
tuduhan itu ada kebenarannya, orang yang mengambil kesempatan untuk
berbuat demikian perlu mengadakan bukti yang kukuh dan munasabah bagi
membuktikan dakwaannya, bukannya dengan mencantumkan cerita yang dibawa
dari mulut ke mulut dan dijadikan modal menyebarkan wasangka buruk dan
tuduhan palsu dan negatif kepada seseorang.
Bila difikirkan kembali…kalau benarlah dakwaan Raja Petra itu, alangkah berdosanya kita kepada Najib….entahlah.
Mynewshub