AIDCNews – 08/08/12 – Peguam Kamar Ainiah Kamaruzaman yang mewakili
Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kes qazaf hari ini mengaku salah dan
memohon maaf berhubung kenyataannya terhadap Presiden Persatuan Peguam
Muslim Malaysia, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar pada 18 Ogos 2011 yang
disiarkan di portal Malaysiakini dan HarakahDaily.
“Kami (Kamar Ainiah dan firma guamannya) telah menyatakan beberapa
perkara dan kami juga telah menyatakan beberapa perkara itu kepada media
berhubung plaintif pada hari berkenaan. Kami mengaku kami tidak ada
asas untuk menyokong dakwaan yang dibuat.
“Oleh yang demikian, kami memohon maaf, tanpa sebarang keraguan dan
melahirkan rasa kesal penuh ikhlas kepada plaintif bagi sebarang tekanan
mental, kerugian dan penderitaan yang ditanggung beliau dan sebarang
syak wasangka yang mungkin timbul dan atau berbangkit terhadapnya
sebagai akibat daripada dakwaan-dakwaan tersebut.
“Bagaimanapun, permohonan maaf ini tidak boleh digunakan dalam
prosiding syariah yang difailkan oleh anak guam kami,” kata Kamar Ainiah
di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Vazeer Alam Mydin
Meera untuk direkodkan dengan disaksikan peguam Azhar Arman Ali yang
mewakili Kamar Ainiah serta peguam Datuk Mohd Haaziq Pillay dan Nizam
Bashir bagi pihak Zainur Rijal.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengemukakan
permohonan di Mahkamah Rayuan Syariah Kuala Lumpur bagi melucutkan
peguam yang mewakli Jabatan Hal Ehwal Islam Wilayah Persekutuan (JAWI)
dalam samannya terhadap jabatan itu.
Beliau menamakan peguam syarie Datuk Zainul Rijal Abu Bakar sebagai
responden dan memohon mahkamah supaya beliau ditegah dan tidak dibenar
mewakili Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain;
Pengarah Jabatan Agama Islam (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali, dan Menteri
di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Ketiga-tiga
mereka terbabit dalam kes berhubung keenganan JAWI membenarkan tuntutan
qazaf Anwar Ibrahim ke atas pengadu kes liwat, Mohd Saiful Bukhari
Azlan yang sedang berlangsung.
“Zainul bertindak secara tidak profesional, tidak jujur dan berniat
jahat serta bercanggah dengan menegakkan keadilan, dan melanggar kod
etika peguam syarie,” kata Kamar Ainiah Kamaruzaman (
kiri) yang mewakili Anwar.
Gesaan itu dibuat berdasarkan reaksi Zainul yang dilihat seolah-olah
menjadi agen menghalang perlaksanaan Mahkamah Syariah dengan memberi
alasan teknikal melibatkan mahkamah sivil.
Sebelum ini, campurtangan politik dalam urustadbir mahkamah syariah
didakwa menjadi faktor kepada penangguhan kes Qazaf yang melibatkan Mohd
Saiful dan Anwar Ibrahim yang kini menjangkau lebih daripada tiga
tahun.
Alasan teknikal
Malah hak Ketua Umum PKR itu didakwa terus diketepikan apabila
Zainul yang mewakili kerajaan sering menggunakan pelbagai alasan
teknikal bagi mengelak kes tersebut daripada didengar sejak 2008.

“Kita
bangkit ialah menuntut supaya prosiding mahkamah syariah berjalan. Itu
yang paling penting. Berulang kali diminta untuk dimulakan (prosiding).
Tiga tahun belum mula kes dan orang yang pergi ke Suhakam termasuk
Persatuan Peguam Muslim ini tidak peduli mahkamah Syariah. Dia guna
tiket persatuan.
“Jadi mereka bercakap tentang keperluan menghormati Islam dan
mahkamah syariah tapi mereka mengabaikan proses (Syariah) kerana alasan
politik. Ia adalah arahan jelas daripada ketua politik. Dalam kes ini
apa yang paling buruk adalah penyalahgunaan wang zakat,” kata Anwar.
Zainul (bawah) yang juga Presiden Persatuan Peguam Muslim pernah
dikaitkan dengan pembayaran yuran guaman menggunakan wang zakat.
Belum didengar
Pada 14 April lalu, Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur membenarkan
bantahan awal Jamil untuk membatal permohonan Anwar supaya Mohd Saiful
didakwa mengikut qazaf.

Dengan
itu, Anwar tidak boleh meneruskan permohonannya untuk mengarahkan ketua
pendakwa syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain mendakwa Mohd
Saiful dengan tuduhan qazaf kerana mendakwa diliwat oleh ketua umum PKR
itu.
Selain Shamsuddin, Anwar turut menamakan dua lagi reponden – pengarah
Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali dan
Jamil Khir.
Mengikut Seksyen 41 Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah
Persekutuan 1997, qazaf ialah tuduhan terhadap seseorang yang melakukan
zina tanpa membawa empat orang saksi lelaki. Seksyen ini adalah bagi
mengelak seseorang menuduh orang lain berzina.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Rayuan itu belum didengar.
Turut disiarkan kenyataan Kamar Ainiah dalam Malayskini, 30 Jan 2012 yang menarik balik fitnah duit zakat
Qazaf: Peguam bantah hakim, keluar mahkamah
 |
- Abdul Rahim Sabri
- 11:39AM Jan 30 2012
|
|
Peguam Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak keluar daripada Mahkamah
Rayuan Syariah Kuala Lumpur, hari ini kerana tidak berpuas hati dengan
keputusan Hakim Datuk Zohdi Toha.
Ini kerana hakim berkenaan memberi kebenaran kepada Menteri di
Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua lagi untuk
mendengar permohonan mengetepikan rayuan Anwar berhubung kes qazaf.

Peguam
Kamar Ainiah Kamaruzzaman (kiri) berkata tidak dapat menerima keputusan
kerana berpendapat hakim perlu mendengar permohonan kebenaran terlebih
dahulu dan memutuskannya sebelum mendengar hujah daripada peguam menteri
sebelum mengetepi rayuan tersebut.
Beliau bersama-sama tiga lagi peguam, mengemaskan fail-fail mereka
dan bertindak terus keluar daripada mahkamah bersama-sama Presiden PKR
Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan penyokongnya.
“Kami tidak boleh mengambil bahagian (prosiding), ia terang-terang satu penyalahgunaan kuasa oleh pihak pemohon.
“Jadi kami terpaksa untuk keluar. Kami akan mengambil tindakan
susulan iaitu menyemak keputusan kehakiman,” kata Kamar Ainiah kepada
pemberita di luar mahkamah.
Menurutnya lagi, permohonan kebenaran untuk mendengar permohonan
untuk mengetepikan notis rayuan Anwar adalah dipohon sendiri oleh
barisan peguam pemohon.
“Sepatutnya perkara itu diselesaikan (terlebih) dahulu, tetapi
mahkamah memutuskan mohon kebenaran tidak relevan. Walhal, (ianya)
permohonan mereka (untuk) mohon kebenaran,” katanya sambil menambah
tindakan mereka keluar sebagai tanda menghormati prosedur mahkamah.
Selain Kamar Ainiah, Anwar diwakili Dorina Abdullah, Dr Mohd Rafie
Shafie dan Mohamad Burok. Manakala pemohon diwakili tiga peguam iaitu
Roslizam Rahim, Abdul Halim Bahari dan Mohd Ridzuan Ramli.
Notis hina mahkamah
Hakim Datuk Zohdi Toha bersama dua lagi hakim rayuan – Datuk Aidi
Moktar dan Datuk Hussin Harun – memutuskan demikian selepas meneliti
surat cara permohonan dan mendengar hujah kedua-dua pihak selepas
mahkamah ditangguhkan selama setengah jam.
Selepas mendengar keputusan tersebut, Kamar Ainiah bangun membantah
keputusan itu dan menegaskan akan membuat semakan kehakiman. Kemudian
mereka bertindak keluar mahkamah.
Sebelum peguam responden itu keluar mahkamah, Roslizam – ketua
barisan peguam pemohon – lantas bangun dan mendakwa tindakan Kamar
Ainiah itu dianggapnya menghina mahkamah kerana hakim membenar prosiding
diteruskan.
Bahkan Roslizam meminta Kamar Ainiah menarik balik kenyataannya
bahawa peguam pemohon “boleh mengambil duit zakat”. Bagaimanapun Kamar
Ainiah menarik balik kenyataan beliau itu.
Penarikan itu dibuat selepas hakim mahu merekodkan kenyataannya itu
sebab ianya dibuatnya dalam mahkamah sambil desakan yang dibuat oleh
Roslizam
Ditemui pemberita selepas prosiding, Roslizam berkata pihaknya akan
memfailkan notis tunjuk mengikut seksyen 229 Akta Tatacara Mal 1998
dengan sebab tindakan mereka itu didakwa “menghina mahkamah”.
“Notis (yang menyatakan bahawa) kenapa mereka tidak boleh dikenakan tindakan menghina mahkamah,” kata Roslizam.
Katanya, responden hari ini membangkitkan isu baru, sedangkan sewaktu
peringkat mana-mana pengurusan kes, perkara tersebut tidak dibangkitkan
pada waktu tersebut.
Anwar pada 23 April tahun lalu memfailkan notis rayuan terhadap
keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Lumpur berikutan keputusan
mahkamah membenarkan bantahan awal Jamil untuk membatal permohonan Anwar
supaya Mohd Saiful Bukhari Azlan didakwa mengikut qazaf.
Anwar pada Ogos tahun lalu juga mengemukakan permohonan di Mahkamah
Rayuan Syariah Kuala Lumpur bagi melucutkan peguam yang mewakili Jabatan
Hal Ehwal Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dalam samannya terhadap
jabatan itu.