Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menimbang akan
bersara daripada politik jika pakatan pembangkang yang dipimpinnya gagal
merampas
Putrajaya pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Pengakuan itu dibuat dalam satu wawancara disiarkan akhbar
Financial Times.
Anwar, 65, berkata, selepas bersara, beliau akan kembali kepada aktiviti asalnya sebelum menyertai politik – mengajar.
Namun Ketua Pembangkang di Parlimen itu tidak pula menyatakan sama ada akan mengajar di dalam atau di luar negara.
Anwar pernah jadi pensyarah jemputan di Universiti Georgetown, Amerika
Syarikat.
Sebelum dibawa menyertai Umno pada 1982 oleh Tun Dr Mahathir Mohamad,
ketika itu Perdana Menteri keempat, Anwar adalah pengasas dan
tenaga pengajar di Yayasan Anda Akademik, Kuala Lumpur selain bergiat aktif dalam Angkatan Belia Islam
Malaysia (Abim).
Beliau kemudian dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri pada 1993 selepas memenangi jawatan Timbalan
Presiden Umno pada
pemilihan Umno tahun itu. Kedua-dua jawatan itu disandangnya sehingga dipecat pada 1998.
Dalam wawancara itu, Anwar mengaku sudah penat berusaha menawan Kerajaan Pusat sebuah negara yang kompleks seperti Malaysia.
“Kami mempersembahkan manifesto, polisi dan sudah tentu jika kami
mendapat mandat rakyat, saya akan teruskan. Jika tidak berjaya saya
fikir mahu kembali mengajar,” katanya.
Kenyataan Anwar itu sudah tentu mengejutkan banyak pihak, dalam dan
luar pakatan pembangkang terutama kerana ia disuarakan ketika negara
sedang menunggu Parlimen dibubarkan.
Anwar yang ketika ini difahamkan berada di luar negara tidak dapat
dihubungi untuk mendapatkan penjelasan lanjut mengenai kenyataannya itu.
Beliau bagaimanapun dijadualkan akan menghadiri satu program di
Selayang hujung minggu ini.
Pada PRU12, kerjasama part-parti pembangkang diterajui Anwar mencatat
sejarah
besar dalam arena politik negara apabila berjaya meleburkan rekod
penguasaan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat oleh Barisan Nasional
(BN).
Kerjasama itu membawa kepada pembentukan Pakatan Rakyat (PR).
Kerjasama itu juga menumbangkan BN di Kedah, Pulau Pinang, Selangor
dan Perak selain mengekalkan Kelantan yang dikuasai Pas sejak 1990.
Pada pilihan raya kecil Ogos 2008, Anwar bertanding di kerusi
Parlimen Permatang Pauh, yang dikosongkan oleh isterinya, Datuk Seri Dr
Wan Azizah Wan Ismail, dan dipilih sebagai Ketua Pembangkang.
Pada 16 September 2008, Anwar mengaku mempunyai jumlah Ahli Parlimen
yang cukup untuk menumbangkan kerajaan BN, namun ternyata ia tidak
berlaku, sebaliknya beberapa wakil rakyat PR pula menyertai BN.
Kemudian, pada perhimpunan Bersih 3.0 28 April lalu, pelbagai pihak
menuduh Anwar cuba merampas kuasa dengan mengadakan rusuhan jalanan ala
kebangkitan Arab Spring, namun tuduhan itu dinafikan sekeras-kerasnya
oleh pemimpin PR.
Anwar dan beberapa lagi pemimpin PKR telah dikenakan beberapa tuduhan
berkenaan Bersih 3.0 dan jika didapati bersalah, beliau boleh dijatuhi
hukuman penjara dua tahun, sekali gus statusnya sebagai wakil rakyat
gugur.
Sumber