Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mengakui beliau
terpaksa melepaskan jawatan Ketua Eksekutif Pejabat Penasihat Ekonomi
Selangor minggu lalu semata-mata untuk membuat persediaan bertanding
dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).
Kata Rafizi, beliau ingin memberi fokus sepenuhnya ke atas PRU yang
bakal dilangsungkan, di peringkat kerusi yang ditandinginya kelak dan
juga atas kapasiti Pengarah Strategi PKR melibatkan partinya di
peringkat nasional.
Beliau dijadual mengadakan sidang media khas menjawab pelbagai persoalan mengenai keputusannya melepaskan jawatan itu esok.
Rafizi turut berkata, beliau bakal ditempatkan di kawasan yang telah
dipersetujui ketika PRU13 dan perlu bekerja keras untuk itu.
"Betul, saya nak tumpukan ke atas PRU yang akan berlangsung tak
beberapa lama lagi, yang memerlukan saya bekerja kuat sepanjang minggu
(menjelang pilihan raya).
"Kalau dulu saya hanya buat kerja untuk parti secara sambilan, tapi
sekarang ceramah sepanjang minggu," kata beliau ketika dihubungi Sinar
Harian Online sebentar tadi.
Menurut beliau lagi, dakwaan Umno kononnya wujud perselisihan faham dan
berbalah dengan pemimpin-pemimpin PKR adalah tidak benar.
"Dakwaan Umno sama sekali tak betul, rakyat boleh tengok dalam tempoh
satu hingga dua minggu lagi keretakan yang didakwa mereka tak akan
berlaku," katanya.
Dalam pada itu, Rafizi juga berkata, beliau mengambil keputusan secara
mengejut tersebut kerana tidak mahu ada pihak yang akan menghalang
keputusan peribadainya itu.
"Saya ambil keputusan ini kerana tak nak orang halang keputusan saya
nanti. Ini keputusan peribadi saya dan harap semua orang akan sokong
dengan keputusan ini," katanya lagi.
Semalam, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
menjelaskan, punca Rafizi meletak jawatan sebagai Ketua Eksekutif
Pejabat Penasihat Ekonomi Selangor kerana mahu memberi tumpuan penuh
terhadap perancangan untuk bertanding pada PRU13.
“Beliau berusaha menjadi Ahli Parlimen, oleh itu, beliau tidak mahu
banyak persoalan yang timbul, dan mahu bertindak secara individu,”
katanya kepada media, semalam.
Beliau berkata demikian ketika mengulas peletakan jawatan Rafizi yang
dikatakan ada kaitan dengan dakwaan wujud krisis dalam pentadbiran
Kerajaan Negeri.
Beliau berkata, Kerajaan Negeri dan Rafizi tidak mempunyai sebarang krisis kerana kedua-duanya bertindak secara profesional.
Abdul Khalid berkata, Rafizi mahu menjadi seseorang yang bebas
menyuarakan pendapat dan tidak lagi terikat sebagai kakitangan Kerajaan
Negeri.