Kickdefella - Rakyat Kelantan perlu nekad bertanya kepada YB Dato’ Haji Husam Bin Musa
dan menuntut exco Kerajaan Negeri itu memberi penjelasan tentang
kemelut yang menyelubungi Kelantan Gold Trade Sdn Bhd. Rakyat Kelantan
perlu memastikan bahawa YB Husam Musa tidak melepaskan tanggungjawab
terhadap apa yang telah berlaku dan masih berlaku seperti mana beliau
mengelak di dalam isu Jihad Ternak Sdn Bhd.
 |
| Umar Ibrahim Vadillo |
Rakyat Kelantan perlu tahu segala-galanya dan YB Husam digesa
bersikap telus di dalam soal ini. Sebagai permulaan, YB Husam di harap
dapat menjelaskan perkara-perkara berikut,
- Apakah hubungan sebenar beliau dengan Umar Ibrahim Vadillo?
- Siapakah yang membuat keputusan melantik Umar Ibrahim Vadillo sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan Gold Trade Sdn Bhd?
- Mengapakah setelah dilucutkan dari jawatan Ketua Pegawai Eksekutif
Kelantan Gold Trade, Umar Ibrahim Vadillo dilantik pula sebagai
Penasihat syarikat tersebut?
- Apakah Husam sedar terdapat 3 laporan polis dibuat terhadap Umar Ibrahim Vadillo?
- Apakah perjanjian kewangan di antara Kelantan Gold Trade Sdn Bhd dan Umar Ibrahim Vadillo?
- Apakah perjanjian tidak rasmi dari aspek kewangan di antara Husam sendiri dengan Umar Ibrahim Vadillo?
- Berapakah jumlah wang yang sudah dikeluarkan dari Kelantan Gold Trade diatas arahan atau permintaan Umar Ibrahim Vadillo?
- Mengapakah kebenaran kelulusan cek dari RM50,000 di kurangkan kepada
RM10,000 sewaktu Umar Ibrahim Vadillo dan seorang Bekas Pengarah
Eksekutif Kelantan Gold Trade menjadi penandatangan cek syarikat?
- Adakah Umar Ibrahim Vadillo menerima habuan lain berbentuk komisen
dalam aktiviti Dinar Emas Kelantan selain dari imbuhan berbentuk gaji,
elaun dan tuntutan perbelanjaan yang dibayar oleh Kelantan Gold Trade?
- Adakah Husam sedar nama beberapa Raja-Raja Melayu telah diguna dan
dikaitkan oleh sindiket tertentu di dalam aktiviti Dinar Emas untuk
mendapat sumber kewangan dari penderma-penderma dalam dan luar negara?
 |
| Husam dan Umar Vadillo dirakamkan oleh Kickdefella, 2007 |
Demi kita mencari keredhaan Allah S.W.T dan berjuang membersihkan diri
dan ummah dari rejim kewangan yang sedia ada, kita tidak boleh
membiarkan pihak-pihak tertentu ‘menjual’ matawang syariah ini untuk
matlamat dan agenda peribadi atau politik masing-masing. Perbuatan ini
sangat-sangat melampau sekali. Kita berharap YB Dato’ Haji Husam yang
mewakili Kerajaan Negeri Kelantan supaya segera menjernihkan suasana
dengan bersikat telus dan bercakap benar. Kita mahu jawapannya. Segera.
Skandal Dinar Emas Kelantan – Mempromosikan Riba Bukan Mencari Keredhaan?
Ramai yang menyokong bahkan berjuang bersama mempromosikan Dinar Emas
Kelantan atas dasar mencari keredhaan dan kebersihan dalam sistem
kewangan dan ekonomi hari ini. Malangnya ramai yang telah terpedaya.
Menerusi matawang syariah, kita mahu kembali kepada mekanisme ekonomi
dan kewangan Islam kerana mahu mengelak dari terjebak ke dalam riba.
Contoh suasana penuh riba masakini ialah sistem perbankan, sistem
insuran dan sistem matawang.
Tidak seperti matawang yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa di seluruh dunia, Dinar Dirham sepatutnya bersih dari riba.
Malangnya, apa yang berlaku kepada Dinar dan Dirham Kelantan ialah
ianya didakwa mempunyai riba setanding dengan US Dollar. Bezanya cuma US
Dollar tercatat ‘In God We Trust’ dan di Dinar Dirham tercatat ‘Tiada
Tuhan Melainkan Allah’.
Apa Itu Riba
Mudahnya, riba adalah tambahan (al-ziyadah). Dari sudut bahasa ia
bermaksud kenaikan nilai. Secara falsafahnya ia bermaksud penambahan
nilai ke atas sesuatu yang dikenakan oleh pihak pemilik asal atau
penjual. Dari sudut matawang pula, riba bermaksud berbezaan nilai yang
dibawa oleh satu-satu matawang itu dengan nilai melekat (intrisic Value)
matawang itu.
Intrisic Value / Nilai Melekat
Intrisic Value pada matawang adalah nilai sebenar matawang itu iaitu
nilai yang melekat pada matawang itu berdasarkan fizikalnya. Sebaliknya,
matawang moden hari ini dianggap tidak bersih kerana nilainya bukan
berdasarkan nilai melekat tetapi nilai yang dipaksakan ke atas pengguna.
Tiada Beza Antara US Dollar dan Dinar Dirham Kelantan
Apakah intrisic value atau nilai melekat pada wang kertas contohnya 1
US Dollar? Nilai intrisicnya adalah sama dengan nilai 1 gram kertas
ditambah dengan kos percetakannya. Lebih banyak ia dicetak, lebih rendah
nilainya. Di dalam kata lain, sekeping wang kertas US Dollar berharga
tidak lebih dari cuma beberapa sen sahaja. Tetapi di dalam pasaran ia
mempunyai nilai yang dipaksakan ke atasnya. Nilai yang dipaksakan ke
atasnya ialah bernilai 1 US Dollar atau lebih RM 3. Nilai yang
dipaksakan ke atasnya itu adalah berkali-kali ganda dari nilai intrisic
atau nilai sebenar sekeping kertas bercop 1 US Dollar.
Ini adalah riba. Rejim kewangan dunia memaksa kita menukarkan
sekeping kertas yang bernilai beberapa sen sahaja dengan barangan yang
bernilai berpuluh-puluh kali ganda darinya.
Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Kelantan menerusi Exconya YB
Dato’ Haji Husam Bin Musa telah menganjurkan Dinar Dirham Kelantan untuk
‘mencari keredhaan’. Bahkan ada usaha politik untuk memaksa Kerajaan
Negeri membayar gaji kakitangan Kerajaan Negeri Kelantan dengan Dinar
Dirham supaya ianya bersih dari riba dan rejim riba anjuran barat.
Benarkah Dinar Dirham Kelantan Bersih Dari Riba?
Berdasarkan maklumat yang disalurkan oleh pihak tertentu kepada blog
ini, Dinar dan Dirham Kelantan didakwa mempunyai nilai riba sama seperti
US Dollar dan bukanlah matawang syariah tulin yang bersih dari riba.
Ini berdasarkan arguement bahawa Kelantan Gold Trade menjual Dinar
Dirham kepada rakyat pada harga yang ditetapkan oleh World Islamic Mint
(WIM) sama sepertimana harga US Dollar ditetapkan oleh US Federal
Reserve.
Semakan kepada laman web WIM mendapati arguement itu adalah benar. Berikut adalah petikan dari laman web WIM,
“After production WIM recommends a RRP – Recommended Retail Price” –
di sini.
WIM juga hanya mengiktiraf Dinar Dirham yang di ‘minting’ olehnya
sahaja dan mengaut keuntungan menerusi royalti sebanyak 1% dari kos
produksi setiap Dinar Dirham. Di Malaysia, WIM diasaskan oleh sahabat
baik Husam Musa iaitu Umar Ibrahim Vadillo.
 |
| Nik Aziz hadir di majlis makan malam sempena konferans Dinar Emas pada tahun 2007. |
Intrisic Value Dinar Dirham Kelantan dan Harga Yang Dipaksakan
Nilai melekat pada 1 Dirham Kelantan ialah bersamaan harga semasa
perak seberat 2.97 gram dicampur dengan harga minting antara 10 ke 15%.
Bagaimanapun WIM meletakan nilai yang dipaksakan kepada 1 Dirham
Kelantan pada harga RM25.00 se Dirham. Ini menunjukkan peningkatan
sehingga mencecah 120% dari harga melekat.
Harga yang dipaksakan kepada 1 Dinar Kelantan pula mencecah hampir
25% lebih tinggi daripada nilai melekat atau nilai sebenarnya.
Jika ini adalah benar, persoalan yang perlu kita tanya ialah apakah
bezanya rejim yang dianjurkan oleh Kelantan Gold Trade dan World Islamic
Mint dengan matawang keluaran US Federal Reserve?
Memandangkan nilai melekat pada Dinar Dirham Kelantan tidak sama
dengan nilai yang dipaksa ke atasnya, maka pengguna berisiko mengamalkan
riba dalam urusan jual belinya.
Pembeli Dinar Dirham pula terpaksa menanggung riba dengan membeli
Dinar Dirham yang harga dijual lebih tinggi dari harga berat emas dan
perak itu di pasaran. Oleh yang demikian apabila mereka cuba menjual
balik, ianya akan susut nilai minimum antara 25% ke 120% dari harga
pasaran. Ini tidak termasuk harga susut nilai akibat ianya dianggap
sebagai emas terpakai. Sekiranya Dinar Dirham Kelantan dibuka dari
sampul plastiknya ianya akan dianggap sebagai emas dan perak terpakai
oleh kebanyakkan kedai-kedai emas. Tetapi, tanpa membuka sampul plastik
tersebut, bagaimanakah pembeli mahu memastikan berat sebenar dan
ketulenan emas itu?
Skandal Riba Kelantan
Matawang syariah tidak sepatutnya diletakkan dibawah sebuah syarikat komersil dan dikawalselia pula oleh pihak berkepentingan.
Matawang syariah sepatutnya diletakan terus dibawah KeBawah Duli Yang
Maha Mulia Raja-Raja Melayu menerusi Baitul Mal. Di Zaman penggunaan
matawang syariah dalam zaman keagungan Islam dan di empayar-empayar
Islam ianya tidak pula dikawal selia dan nilainya ditentukan oleh badan
seperti WIM yang cuba bertindak memonopoli matawang syariah.
Zaman keagungan Islam, nilai dan penerimaan matawang syariah yang
berlainan pembuatnya ditentukan oleh kuasa pasaran. Pasaran yang
menentukan matawang syariah mana yang lebih mereka utamakan
penerimaannya.
Tidaklah berkesan jika nilai matawang syariah tidak seragam dengan
nilai melekatnya. Jika nilai matawang syariah lebih tinggi dari nilai
melekatnya maka ia sama sahaja dengan sistem matawang hari ini.
Skandal Dinar Dan Kerajaan Negeri Kelantan
Pihak tidak bertanggungjawab telah menggunakan Dinar dan Dirham
Kelantan untuk meraih simpati politik serta mempromosikan agenda
tertentu untuk keuntungan karier masing-masing.
Saya tahu kebanyakkan anggota Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan
sendiri tidak bersalah dalam isu ini. Bahkan mereka sendiri dari awal
lagi merasa tidak selesa dengan skim yang disarankan. Masalahnya ada
pihak tertentu yang sering membelakangkan Kerajaan Negeri.
Siapakah dibelakang ‘pihak tertentu ini’?
Bagaimanapun, Kerajaan Negeri Kelantan tidak boleh mendiamkan diri.
Tindakan perlu diambil dengan kadar segera. Penjualan Dinar Dirham
Kelantan perlu digantung sementara. Audit perlu dilakukan terhadap
matawang syariah yang dijual oleh Kelantan Gold Trade. Badan yang
dianggotai oleh para ulama’ kemudian harus menilai kesahihan dakwaan
yang dimajukan di dalam posting kali ini.
Rakyat Kelantan dan Dinar Dirham
Kebanyakan rakyat Kelantan tidak sedar risiko yang mereka ambil di
dalam pembelian Dinar Dirham Kelantan. Ini kerana kebanyakannya hanya
berlandaskan kepada niat suci mencari keredhaan. Lebih banyak persoalan
dan pendedahan berhubung Dinar dan Dirham Kelantan akan dimajukan di
masa akan datang.
Setakat ini cukuplah di katakan bezanya antara US Dollar dan Dinar
Dirham Kelantan seolah setakat terjemahan ‘In God We Trust’ dan ‘Tiada
Tuhan Melainkan Allah’.