 |
| Gambar Hiasan |
Kata yang empunya cerita ada isteri – termasuk yang masih dalam manis
bulan madu – gelisah sebab sehari dua ini tiba-tiba tidak dipedulikan
suami.
Malam-malam yang sepatutnya indah, mereka dibiarkan kesepian dan terlentang seorang diri, terkebil-kebil di atas katil.
Oleh sebab berasa tidak dihargai, tidak tahan terus memendam perasaan
zahir dan batin, ada yang merajuk, diam-diam lari ke rumah ibu bapa.
Jangan salah faham, ini bukan kes suami sudah ada perempuan lain. Tidak
juga suami terkena ilmu bomoh Siam seorang janda, selisih malaikat 44!
Ini semua gara-gara Euro 2012 – Kejohanan Bola Sepak Eropah – yang kini
sedang berlangsung hebat di Poland dan Ukraine. Setiap hari ada dua
perlawanan, bermula jam 12 tengah malam hingga 4 subuh. Pada waktu ini
tumpuan suami tidak pada bola-bola lain, hanya pada bola yang satu itu.
Maka sukalah saya memberi nasihat kepada mana-mana isteri yang
berkenaan bahawa mereka mungkin terpaksa memeluk bantal kira-kira
sebulan sehingga kejohanan itu selesai 1 Julai depan. Tidak guna merajuk
atau tunjuk perasaan, sebab suami akan tetap berjaga malam.
Sebenarnya bukan isteri sahaja, kesan Euro 2012 dirasakan di kebanyakan
pejabat. Rekod kakitangan yang datang lewat semakin meningkat. Bukan
lewat 10 atau 15 minit, malah ada yang masuk pejabat dua jam lewat. Mata
kuyu seperti penagih tegar, sebab tidur lepas jam 4 pagi. Mungkin ada
yang terlepas solat subuh.
Rekod yang mendapat cuti sakit @ MC pun mendadak naik. Almaklumlah,
daripada masuk pejabat lewat, mata kuyu dan menguap setiap lima minit,
lebih baik tidak masuk kerja. Oleh sebab cuti tahunan sudah habis, cara
paling selamat ialah dengan membeli MC dari mana-mana klinik.
Nasib baik musim bola ini hanya sebulan, kalau setahun pasti akan
menjejaskan prestasi kerja, dan negara akan mengalami penurunan
produktiviti. Malah, mungkin juga akan terjadi pergaduhan antara suami
dengan para isteri yang hilang sabar.
Bola ternyata tidak sahaja meresahkan isteri dan majikan, tetapi juga
terbukti menyusahkan polis. Walaupun KPI menurunkan kadar jenayah
berjaya, demikian menurut KDN, polis tidak duduk senang setiap kali ada
kejohanan bola peringkat dunia.
Kerja polis bertambah, bukan menonton bola, tetapi untuk membanteras
judi bola. Wabak ini, melibatkan pertaruhan RM berbilion-bilion, kini
melanda seluruh dunia, termasuk negara kita. Setiap kali bola ditendang,
duit judi – termasuk yang tidak berlesen – berterbangan seperti dedaun
di musim luruh.
Setakat awal minggu, tiga hari setelah sepak mula Euro 2012, polis
sudah mengesan gelagat kaki judi di tempat kita. Judi bola paling awal
dikesan di Pulau Pinang, apabila polis berjaya menumpaskan sindiket
bookie yang mengaut pertaruhan RM100,000 bagi setiap perlawanan.
RM100,000 setiap perlawanan, bayangkan berapa banyak yang dikaut oleh
tauke judi haram sepanjang musim ini yang menyaksikan berpuluh
perlawanan.
Kalau satu malam, empat perlawanan, mereka dapat hampir RM setengah
juta, jumlah yang diperoleh sepanjang musim ini tentulah berpuluh-puluh
juta.
Pegawai Turus Bahagian KongsiGelap, Judi dan Maksiat Kontinjen Polis
Pulau Pinang DSP Zailani Amit berkata dalam serbuan di sebuah kedai
minuman pada pukul 7.45 malam itu, polis menahan tiga lelaki termasuk
seorang warga emas. Mereka sedang menjalankan urus niaga haram menerusi
Internet.
Siasatan di bawah Seksyen 6(3) (a) Akta Pertaruhan 1953, mendapati
warga emas 75 tahun yang ditahan itu pernah terlibat dalam kesalahan
sama semasa musim bola sepak Piala Dunia yang lepas.
Mungkin denda terlalu sedikit hanya RM20, dia tidak serik. Apalah
RM20,000 beranding perolehan RM100,000 setiap perlawanan! Atau, apakah
si tua itu dulu tidak dikenakan apa-apa tindakan?
Bola sepak, sebagai sukan paling popular, menjadi punca judi. Rekod
menunjukkan sepanjang musim Piala Dunia dua tahun lalu PDRM telah
melakukan sebanyak 270 serbuan judi bola sepak di seluruh negara. Dari
jumlah tersebut sebanyak 151 serbuan memperoleh kejayaan. Jumlah
keseluruhan pertaruhan lebih RM400 juta. Sepanjang tempoh Piala Dunia
polis menahan 227 individu, termasuk 17 wanita dan beberapa orang
kenamaan berstatus Datuk.
Pasti ramai lagi ditahan sepanjang Euro 2012. Tetapi tahan sahaja tidak
cukup. Tauke dan penjudi haram itu mesti dihukum. Sekiranya denda RM
tidak berkesan, sumbatkan mereka ke penjara.
Sinar