Roger Mitton, seorang wartawan serantau di Phnom Penh Post, Kemboja
menulis artikel bertajuk, ‘Urusniaga kapal selam menghantui PM
Malaysia’.
Untuk seorang wartawan mengulangi skrip yang telah dibatalkan oleh
penulis asal, Raja Petra Kamaruddin (RPK) amatlah menyedihkan.
RPK, seorang yang kurang stabil, pengecut dan juga pelarian mengangkat
dirinya sebagai manusia berintegriti dan seorang wira, telah pun membuat
pengakuan terbuka bahawa beliau hanya mengada-ngadakan kisah pembabitan
Perdana Menteri dalam pembunuhan Altantuya. Pembunuhan itu juga telah
pun dibawa ke mahkamah dan tiada satu pun bukti yang dapat mengaitkan
apa-apa dengan PM mahupun kapal selam yang dibeli.
Tetapi jelaslah, bahawa ada pihak yang masih dihantui dengan kisah ini,
atau mungkin juga dengan ‘jawatan PM’ serta enggan mengakui bahawa tiada
apa-apa yang pelik di belakang pembelian kapal selam dan bahawa kisah
pembabitan PM dalam pembunuhan hanyalah merupakan fitnah
terang-terangan.
Lucu bila memikirkan Mitton mempunyai pengetahuan yang lebih sedikit
dari RPK, penulis skrip asal sendiri. Contohnya, beliau tahu bahawa
Altantuya telah dirogol sebelum tubuhnya hancur diletupkan.
Jika kita mempunyai tahap imaginasi yang tinggi sepertimana Mitton, kita
akan menyangka bahawa Mitton sebenarnya terlibat dalam pembunuhan itu.
Ini dapat menjelaskan bagaimana beliau tahu secara terperinci bahawa
wanita tersebut telah dirogol dan apakah yang dibualkan oleh Altantuya
dengan Razak Baginda sebelum dibunuh, sedangkan Mitton hanya bertemu
Razak sekali atau dua kali sebelumnya.
Tetapi, Mitton tidak dapat menulis kisahnya dengan tepat. Artikel
beliau agak mengelirukan dan pembaca gagal mengenalpasti sama ada
Altantuya adalah perempuan simpanan Razak dan bagaimana beliau terlibat
dengan PM. Dan kita dapat mengesan bahawa Mitton agak berhati-hati
dengan menyebut jumlah harga kapal selam secara jangkaan, mungkin kerana
tidak mempunyai maklumat terperinci. Pastinya beliau tidak mempunyai
maklumat terperinci kerana jumlah rasuah yang didakwa sering
berubah-rubah dalam setiap versi kisah ini.
Bagaimamnapun, versi yang paling popular ialah bahawa rasuah tersebut
berjumlah EURO 114.96 juta dibayar kepada Perimekar Sdn Bhd, sebuah
syarikat milik sama ada Razak, atau isterinya atau isteri PM atau
sesiapa jua yang mana SUARAM sendiri, iaitu juara isu scorpene ini,
pihak pembangkang dan Mitton sendiri tidak dapat pastikan, walaupun
mereka begitu pasti tentang semua perkara lain.
Satu-satunya versi yang tidak berubah ialah yang diperjelaskan oleh PM
dan kerajaan di dalam parlimen. Faktanya ialah Perimekar Sdn Bhd adalah
syarikat milik Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), Boustead
Holdings Berhad dan K.S. Ombak Laut Sdn Bhd. Dan Perimekar tidak
menerima apa-apa komisen atau rasuah dari DCNS tetapi hanya menerima
bayaran bagi perkhidmatan sokongan dan penyelenggaraan yang diberikan
mereka.
Ini termasuk, kediaman lengkap bagi 27 pegawai, 156 krew dan 30 staf dan
keluarga mereka di Perancis dan Sepanyol selama 6 tahun.
Perimekar juga adalah bertanggungjawab menyediakan dan menguruskan pejabat pengurusan di Perancis dan Sepanyol selama 6 tahun.
Dan juga Perimekar perlu menanggung kos insurans, elaun, perjalanan dan
koordinasi serta semua perebelanjaan bagi memastikan operasi berjalan
lancar selama 6 tahun.
Kita harap agar Mitton tidak cuba untuk membandingkan kos kehidupan di
Kemboja dengan Eropah, terutamanya Perancis. Melihat dari angka
‘rasuah’ iaitu EURO 114.96 juta atau RM410.27 juta mengikut tarikh
kontrak iaitu 5 Jun 2002, congakan rambang akan menunjukkan bahawa EURO
85 juta adalah kos hangus untuk operasi, sementara EURO 26 juta adalah
kos ‘overhead’. Justeru, Perimekar hanya mampu membuat untung sebanyak
lebih kurang EURO 3 juta sahaja.
Jika kesemua RM410.27 juta tersebut dibayar sebagai rasuah kepada PM,
Razak atau sesiapa jua, bagaimakah agaknya Perimekar mampu terus wujud
sedangkan mereka perlu menanggung semua kos di atas? Apakah Mitton
ingin berhujah bahawa mereka beroperasi secara percuma?

Mungkin
Mitton tinggal di Kemboja terlalu lama dan amat mendambakan sebuah
kisah yang menarik. Kita tidak menyalahkan Mitton untuk cuba
menghapuskan kebosanannya.
Tetapi, kita dapat melihat bahawa Mitton adalah seorang penulis fiksyen
yang baik. Selepas menulis artikel yang begitu menyedihkan ini, penulis
harap Mitton akan memikirkan secara serius tentang menceburi bidang
penulisan fiksyen. Sekurang-kurangnya beliau akan dipuji kerana menulis
fiksyen yang baik daripada diketawakan kerana menulis laporan berbentuk
fiksyen.
Bagaimanapun, sedikit kredit perlu diberikan kepada Mitton kerana kini
kita menyedari akan kewujudan akhbar bernama ‘Phnom-Penh Post’.