Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam
Malaysia memutuskan haram untuk umat Islam menyertai perhimpunan atau
demonstrasi yang bertujuan tidak baik, melanggar undang-undang serta
mencetus huru-hara dan kekacauan dalam negara. Adakah orang politik
beragama Islam yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak
langsung dalam perhimpunan seumpama itu seperti Bersih 3.0 peduli dengan
kenyataan itu?
Dalam politik, perangai manusia tidak boleh dijangka. Ada yang
sanggup menjilat ludah sendiri, bertindak meludah ke langit atau menepuk
air di dulang. Tidak kurang juga yang membuka pekung di dada di
khalayak. Begitulah sikap sesetengah pemain politik hari ini disebabkan
kuasa. Pastinya orang seperti Nik Abdul Aziz Nik Mat, Abdul Hadi Awang
dan Mohamad Sabu @ Mat Sabu tidak dapat menerima keputusan jawatankuasa
itu. Mereka dan rakan-rakan lain yang sependapat akan mencari jalan
untuk ‘menghalalkan’ perhimpunan itu walaupun sudah jelas ia melampaui
batasan agama seperti menyusahkan sesama umat, memusnahkan harta awam,
mencederakan manusia dan memberi gelaran tidak baik terhadap insan yang
menjalankan amanah dan tanggungjawab menjaga ketenteraman awam dan
keselamatan negara.
Semuanya ini memperlihatkan bagaimana tindakan ‘ganas’ orang Islam
dan mengesahkan pandangan sesetengah pihak di barat selepas kejadian 11
September. Maka tidak mustahil musuh Islam akan mengambil kesempatan
memperkudakan orang Islam untuk mencapai matlamat mereka. Lebih mudah
jika ada yang bersedia menjadi kuda tunggangan.
Pada masa yang sama, ada juga suara yang mahu menukar perlembagaan
negara. Semuanya ini tidak mustahil kerana Pas yang dulunya tegas
mempertahankan negara Islam secara perlahan-lahan sudah mengubah haluan.
Tentunya langkah ini bagi memudahkan Pas berkongsi kuasa dengan DAP
yang suatu masa dulu pemimpinnya pernah mencabar supaya langkah mayatnya
dahulu sebelum melaksanakan negara Islam. Jika dulu Pas bersendirian di
atas ‘kapal’nya tetapi kini sudah ada tiga kapten - Pas, DAP dan PKR.
Maka haluan kapal akan sentiasa berubah asalkan ia sampai ke matlamat
yang dituju. Sebagai anggota di dalam kapal yang sedang dalam pelayaran,
ketiga-tiga parti ini pastinya tidak mahu ‘karam’ di tengah lautan
sebelum sampai ke destinasi. Maka apa juga tindakan yang boleh
‘menyelamatkan’ kapal itu akan dituruti walaupun langkah itu
bertentangan dengan adat, budaya dan agama.
Dalam hubungan ini juga, soal agama diletak sebelah kerana pada
fikiran mereka, tindakan seperti menyertai perhimpunan Bersih 3.0 itu
satu perjuangan menentang kemungkaran. Hakikatnya merekalah yang
melakukan kemungkaran. Kemungkaran itu tidak akan berlaku jika ia tidak
didorong oleh manusia yang mengingkari peraturan dan undang-undang
negara. Apa yang berlaku pada hari tersebut disebabkan kegagalan manusia
yang berakal bertindak secara berhemah dengan mematuhi undang-undang
negara. Kemungkinan kemungkaran di jalanan tidak berlaku jika
perhimpunan berlangsung di stadium.
Justeru dalam hal ini seorang sahabat bertanya, apakah tindak tanduk
di sekitar Dataran Merdeka baru-baru ini dan jika diselak kembali
beberapa isu lain sebelum ini akhirnya akan meruntuhkan Rukun Negara?
Adakah Rukun Negara tidak lagi relevan? Penulis hanya menjawab jika
ajaran dan nasihat agama pun mereka sanggup ketepikan, diri sendiri
diperkudakan, inikan pula Rukun Negara ciptaan manusia.
Apa pun pertanyaan sahabat ini perlu direnungi bersama. Adakah Rukun Negara sekadar ikrar? Masihkah ia relevan.
Eloklah diselak kembali lima prinsip Rukun Negara yang dibentuk pada
31 Ogos 1970 oleh Majlis Gerakan Negara, setahun selepas tragedi 13 Mei
1969 yang menghancurkan perpaduan negara.
Secara ringkas lima prinsip itu ialah:
1. Kepercayaan kepada Tuhan
Bangsa dan negara ini diwujudkan atas kepercayaan yang kukuh kepada
Tuhan. Melalui kepercayaan beragama ini menjadikan bangsa dan negara ini
satu bangsa dan negara yang berdaulat. Perlembagaan Persekutuan
memperuntukkan Islam ialah agama rasmi Persekutuan, tetapi agama dan
kepercayaan lain boleh diamalkan. Jawatankuasa penggubal Rukun Negara
menyedari pentingnya agama dan kepercayaan kepada Tuhan dalam kehidupan.
Ketiadaan agama boleh meruntuhkan keperibadian seseorang, bangsa dan
negara.
2. Kesetiaan Kepada Raja dan Negara
Malaysia mengamalkan Sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja
Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai
Ketua Negara. Sistem beraja juga diamalkan di setiap negeri dan Yang
Dipertua Negeri bagi negeri yang tidak beraja. Seri Paduka, raja-raja
dan Yang Dipertua Negeri adalah lambang perpaduan rakyat. Setiap
warganegara hendaklah menumpukan taat setia, jujur dan ikhlas kepada
Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Begitu juga di peringkat
negeri.
3. Keluhuran Perlembagaan
Rakyat perlu menerima, mematuhi dan mempertahankan keluhuran atau
kemuliaan Perlembagaan Negara. Perlembagaan adalah sumber perundangan
tertinggi. Fungsinya untuk memberi perlindungan kepada rakyat akan hak
dan keistimewaan mereka sebagai warganegara. Setiap warganegara
dikehendaki menghormati, menghargai serta memahami maksud dan kandungan
serta latar belakang sejarah pembentukan Perlembagaan Negara.
Perlembagaan ini digubal berasaskan kesepakatan semua kaum dan semua
pihak di negara ini. Ia merupakan kontrak sosial rakyat yang tidak boleh
dipersoal dan diganggu gugat.
4. Kedaulatan Undang-Undang
Keadilan diasaskan atas kedaulatan undang-undang. Tanpa
undang-undang, hidup bermasyarakat dan bernegara tidak aman. Setiap
negara memerlukan undang-undang untuk mengawal dan mewujudkan masyarakat
yang aman, stabil dan makmur. Kewujudan undang-undang akan menjamin
kehidupan masyarakat bergerak dengan licin dan teratur tanpa kekacauan.
Hak rakyat boleh diamalkan dengan bebas asalkan tidak melanggar
undang-undang. Hak dari kebebasan yang dijamin Perlembagaan tidak
termasuk hak menggulingkan kerajaan sama ada dengan kekerasan atau cara
yang tidak menurut Perlembagaan.
5. Kesopanan dan Kesusilaan
Prinsip ini menekankan perkembangan personaliti dan tingkah laku
seseorang. Tujuannya untuk membentuk warganegara yang bersopan santun
dan bersusila. Sifat ini paling bermakna dan amat penting dalam konteks
perhubungan antara satu sama lain dalam masyarakat pelbagai kaum.
Tatasusila ini membenci dan mengutuk tingkah laku atau perbuatan yang
angkuh atau menyinggung perasaan seseorang atau golongan. Tingkah laku
sopan juga mengandungi darjah kesusilaan yang tinggi dalam kehidupan
persendirian dan bernegara. Prinsip ini menjadi panduan supaya perilaku
masyarakat sentiasa terpelihara.-Utusan
Persoalannya, adakah rakyat Malaysia masih berpegang kepada lima prinsip ini?












