JAKARTA 7 Mei - Bukan mahu mempertahankan nama
baik atau mencari jalan untuk menjernihkan kemelut antara Malaysia dan
Indonesia, sebaliknya, Pengarah Eksekutif Tenaganita, Irene Fernandez
memilih mengecam negaranya sendiri dalam media Indonesia.
Irene yang mengetuai Tenaganita iaitu sebuah pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) yang memperjuangkan hak wanita, mendakwa Malaysia
bukanlah negara terbaik untuk rakyat Indonesia mencari rezeki.
Rakyat Indonesia khususnya wanita yang ke Malaysia untuk bekerja
digambarkan Irene, saling tidak ubah dijadikan sebagai objek
eksploitasi, penderaan fizikal, keganasan dan rogol berikutan wujudnya
industri perkhidmatan pembantu rumah.
"Kewujudan industri perkhidmatan pembantu rumah dan penswastaan
perkhidmatan kesihatan merupakan satu bentuk penjajahan baru yang
merosakkan sistem ekonomi negara dan meningkatkan ketidaksamaan jurang
antara pekerja asing khususnya wanita," kata Irene dalam satu temu bual
dengan akhbar The Jakarta Post yang disiarkan hari ini.
Temu bual yang disiarkan di halaman empat akhbar itu dengan tajuk Malaysia not safe for Indonesian migrant workers
merupakan susulan daripada insiden tiga rakyat Indonesia yang disyaki
sebagai penjenayah ditembak mati oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) Mac
lalu.
"Polis Malaysia tidak ada kuasa untuk menembak ketiga-tiga mereka
sekalipun mereka suspek jenayah. Sepatutnya polis menahan kesemua suspek
itu dan bawa mereka ke muka pengadilan seandainya suspek itu diberkas
ketika melakukan jenayah," kata Irene yang meminta siasatan menyeluruh
dilakukan bagi membuktikan dakwaan polis Malaysia tepat.
Irene mendakwa, berdasarkan laporan, ketiga-tiga rakyat mereka bukan penjenayah.
Dakwaan itu bertentangan dengan laporan polis sebelum ini yang
menyebut tiga rakyat Indonesia, Herman, 34, Abdul Kadir Jaelani, 25, dan
Mad Nur, 28, yang disyaki penjenayah samun dan pecah rumah bertindak
menyerang anggota polis dengan bersenjatakan parang pada awal pagi 24
Mac lalu.
Anggota polis terbabit terpaksa melepaskan tembakan ke atas
ketiga-tiga suspek bagi mempertahankan diri. Kesemua suspek mati
ditembak di dalam kawasan sebuah rumah di Port Dickson.
Dakwaan dan tuduhan itu bagaimanapun dinafikan oleh Menteri Luar
Indonesia, Marty Natalegawa yang menegaskan, pihak berkuasa Malaysia
tidak mencuri organ ketiga-tiga rakyat negara itu yang ditembak mati.
Dalam temu bual itu juga, Irene mendakwa, apa yang menyebabkan
Malaysia tidak selamat dijadikan tempat mencari rezeki ialah kerana
Malaysia tidak memiliki rangka kerja atau sebarang undang-undang khusus
untuk mempertahankan pekerja.
"Lebih buruk lagi kerajaan Malaysia juga mengekalkan diskriminasi
dalam kalangan pembantu rumah dan buruh ladang iaitu dua sektor yang
dikecualikan daripada pengenalan upah gaji minimum," ujar beliau.
Selain kerajaan Malaysia dan PDRM, Irene turut menempelak majikan
yang bebas memperlakukan apa sahaja kepada amah mereka hanya kerana
diberikan kebenaran memegang pasport pekerja masing-masing.
"Majikan di Malaysia melanggar undang-undang dengan memberi rasuah
kepada polis dan mahkamah," dakwa Irene sambil menggesa pemerintah
Indonesia tidak menyambung usaha menghantar pekerja ke Malaysia.
Berhubung usaha Kementerian Dalam Negeri memperkenalkan Program 6P,
Irene secara sinis berkata, akornim P dalam program itu ialah
'Penipuan'. - UTUSAN