 |
| RINDU....
Willney menunjukkan gambar Nana yang berada dalam pelukan adiknya.
Manakala Julia (kiri) bersama anak dan adiknya yang turut menuntut Nana. |
Oleh: SURIATI MAHMUD
TRAGEDI
Natrah atau Rusuhan Maria Hertogh yang berlaku di Singapura pada 12
Disember 1950 mungkin akan berulang di Sabah jika tidak ditangani dengan
baik oleh Mahkamah Kanak-Kanak Lahad Datu sekiranya Fansyarina Abdullah
@ Nana diserahkan kepada keluarga neneknya yang beragama Kristian.
Dalam
Tragedi Natrah, mahkamah membuat keputusan bahawa Natrah mesti
dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda dan bapanya diberi
hak dalam menentukan agama anaknya; sedangkan ketika itu Natrah yang
sudah diIslamkan; telah dihantar pulang ke Belanda dan seterusnya
dipaksa menjadi Kristian. Keputusan ini mengecewakan masyarakat Islam di
Singapura dan Tanah Melayu apabila Natrah akan dimurtadkan.
Walaupun
Natrah telah meninggal dunia Huijbergen, Belanda pada 9 Julai 2009
ketika berusia 72 tahun, namun Tragedi Natrah telah mengorban seramai 18
orang dan mencederakan 173 orang ketika bertempur dengan tentera dan
polis British pada 1950.
Kini
kes yang seakan serupa berlaku di Sabah apabila berlaku perebutan hak
penjagaan terhadap seorang kanak-kanak, Fansyarina Abdullah @ Nana, 7,
yang mangsa dera nenek kandungnya, Saniah Binti Basial di Felda Anjung
Teduh Lahad Datu.
Fansyarina
adalah anak keempat Ridah @ Nurul Fahana Binti Majusim, seorang wanita
beragama Islam yang menetap di Kampung Tokurik Ranau dengan pasangannya,
Podih @ Podih Tan Bin Dusun yang beragama Kristian (Roman Katholik).
Ridah
telah bersekedudukan dengan Podih selama lebih enam tahun dan
memperoleh lima orang anak, satu daripadanya meninggal dunia sebaik
lahir; namun kesemua anaknya telah diserahkan kepada kaum kerabat dan
keluarga angkat kerana Ridah tidak mampu memelihara anak-anaknya
disebabkan Podih tidak mempunyai pekerjaan tetap dan mempunyai seorang
isteri sah yang beragama Kristian.
Setelah
berpisah dengan Podih, Ridah mengikuti ibunya, Saniah Basial ke Felda
Anjung Teduh Lahad Datu membawa bersama Fansyarina yang ketika itu
berusia satu tahun dan dipelihara oleh ibunya yang turut mengalami
masalah rumahtangga setelah bercerai dengan suaminya, Majusim Bin Lizun.
Di
Lahad Datu, Ridah telah bertemu jodoh dengan seorang lelaki tempatan
berketurunan Suluk dan terpaksa ‘membuang’ anak-anaknya untuk menjaga
agar tembelangnya tidak pecah kerana suaminya mengetahui Ridah adalah
janda, tetapi bukan janda beranak lima!
Akibatnya,
Fansyarina yang agak nakal dan aktif telah menderita dianiaya nenek
kandungnya sendiri sehingga terpaksa menjadi ‘Hamba Abdi’ di dalam
‘Neraka’ ciptaan neneknya kerana ketika ditemui polis, Fansyarina dalam
keadaan kaki dan tangan terikat dan dikurung dalam tandas serta
mengalami luka baru dan parut lama akibat lama didera nenek dan keluarga
‘angkat’nya.
Kini
Fansyarina dipercayai telah berada dalam jagaan Jabatan Perkhidmatan
Kebajikan Am di suatu tempat selamat yang diwartakan sementara menunggu
perintah mahkamah selanjutnya; terutama berhubung tuntutan hak penjagaan
daripada keluarga terdekat ibunya yang beragama Islam dan Kristian.
Salah
seorang ibu saudaranya, Willney Binti Luis, 29, yang bergegas ke Lahad
Datu sebaik sahaja mengetahui kes penderaan tersebut, bertekad untuk
mengambil Fansyarina atas alasan telah memelihara abang Fansyarina
bernama Firdaus kerana dia hanya mempunyai seorang anak; apatah lagi
hanya dia yang beragama Islam berbanding saudara mara lain yang masih
beragama Kristian.
“Oleh
kerana Nana (Fansyarina) beragama Islam, maka saya rasa amat wajar
untuk menuntut dia kerana dia pernah berada dalam jagaan kami di kampung
Sagindai Baru, Ranau. Abangnya (Firdaus) yang tinggal bersama kami
turut mendesak saya mengambil adiknya,” ujar Willney yang mengakui
mendapat tahu kes penderaan melalui akhbar dan portal Sabahkini.net.
 |
| BUKTI....Fansyarina
dalam jagaan selamat Willney sebelum diambil neneknya. Kanak-kanak
lelaki di sebelahnya dipercayai Firdaus, abang Nana bergambar bersama
adik Willney. |
Willney
turut menunjukkan gambar Fansyarina yang mesra dan dalam keadaan sihat
walafiat sewaktu dalam jagaannya; sekalipun tidak menyangka Saniah akan
menyiksa cucu sendiri.
Walaupun
Saniah adalah ibu mertuanya, namun Willney ingin menebus dosa ibu
mertuanya itu dengan memberi penjagaan sempurna kepada Nana jika
dibenarkan Mahkamah atau Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am
Sabah.
“Nana
beragama Islam dan saya fikir lebih selamat bersama saya kerana dia
biasa dengan saya berbanding nenek saudara dan ibu saudaranya yang
lain,” ujar Willney yang bernikah dengan anak Saniah, Junior Majusim dan
kini menetap di kampung Sagindai Baru, Ranau, Sabah.
Bagaimanapun
hasrat Willney mungkin ditentang keras oleh nenek saudara Nana, Julia
Basial yang begitu bersemangat mahu mengambil Nana kerana berpendapat
menyerahkan Nana kepada Willney tidak akan menyelesaikan masalah kerana
bimbang kejadian yang menimpa Nana akan berulang.
“Sama
juga itu kalau kasi balik sama Willney. Dia itu menantu kakak saya,
Saniah. Saya takut Nana akan tersiksa lagi. Walaupun dia menjaga Firdaus
dengan baik, tapi belum tentu dia dapat menjaga Nana kerana dia pun ada
anak juga,” tegas Julia yang menentang keras hasrat Willney kerana
bimbang tujuan pengambilan Nana hanya untuk menutup kes penderaan yang
dilakukan ibu mertuanya.
Kata
Julia, beliau tetap kesal dengan tindakan kakaknya menyiksa Nana dan
menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menentukan hukuman bagi
kesalahan yang dilakukan kerana beliau hanya menumpukan usaha untuk
mendapatkan hak penjagaan bagi Nana.
“Dia
waris kami. Walaupun dia tidak berkahwin secara sah dengan Podih,
tetapi Nana tetap darah daging kami dan sudah pastinya dia akan kembali
kepada agama asal bapanya,” ujar Julia yang mengakui mereka adalah
penganut Kristian yang taat kepada agama mereka.
Sekalipun
Podih kini berada di Pusat Pemulihan Dadah, namun Julia yakin anak
saudaranya itu akan bertaubat dan kembali ke pangkal jalan setelah
keluar daripada Pusat Pemulihan kerana selain Nana dan tiga beradiknya,
Podih mempunyai seorang anak lagi.
Kata
Julia, sejajar dengan kebebasan beragama, beliau merayu agar Nana
kembali kepada agama asal keluarganya kerana masih berada di bawah umur,
apatah lagi ibu kandungnya, Ridah telah menyerahkan Nana kepada mereka
sebelum ‘dipinjam’ Saniah yang kesunyian setelah bercerai dengan
suaminya.
“Saya
tidak sekali-kali menyangka kakak saya akan menyiksa cucunya sendiri.
Saya sangka Nana selamat dalam pemeliharaannya sehinggalah kami terbaca
akhbar dan dihubungi pemimpin kami berhubung insiden tersebut,” ujar
Julia yang akan memfailkan permohonan di Mahkamah Anak Negeri Ranau
untuk mendapatkan hak penjagaan yang sah bagi memastikan masa hadapan
Nana cerah.
Namun
Julia mungkin menghadapi halangan daripada Mahkamah Syariah kerana
sudah pastinya Willney akan mempertahankan Nana yang beragama Islam
kerana Ridah juga telah menyerahkan Nana kepadanya sebelum diambil
kembali Saniah setahun lalu.
Oleh kerana semangat toleransi dan kebebasan beragama diamalkan di Sabah tidak sefanatik penganut
agama Islam di Semenanjung Malaysia, maka Julia dan Willney berharap
mereka akan dapat menyelesaikan isu berkenaan dengan sebaik mungkin
untuk memastikan Tragedi Natrah tidak berulang di Sabah.