MELALUI Dataran
Merdeka dan melihat beberapa khemah yang didirikan di hujung dataran
berdekatan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.
Teringin
menyelami rintihan pembantah-pembantah Perbadanan Tabung Pendidikan
Tinggi Nasional (PTPTN) ini, lantas menarik kami meletakkan kereta di
bangunan Daya Bumi menuju ke sana.
Tidak ramai
kalangan para pembantah ini. Cuma kira-kira 20 orang. Tambah
memeranjatkan kami, pelajar cuma beberapa kerat. Yang banyaknya adalah
kumpulan dewasa termasuklah beberapa individu yang berusia sekitar 60
tahun - lebih layak digelar warga emas.
Lihat video di bawah. Seorang cina PKR dari Penang main solat-solat.
Apa yang
dibuat mereka di sini? Meninjau-ninjau sebentar, ternampaklah kelibat
Adam Adli Abdul Halim, 'hero kampus' kononnya. Mukanya sembab, mata
merah... tidak cukup tidur barangkali. Apabila ditujah soalan oleh salah
seorang daripada kami tentang hasil yang mereka boleh dapat daripada
pemansuhan PTPTN ini, Adam yang telah digantung pengajian dari UPSI ini
enggan bersuara.
Dia
seakan-akan cuak dengan kami. Dia memberi alasan 'banyak kerja' dengan
sibuk menyusun botol-botol minuman yang sebenarnya telah pun tersusun
dengan elok di tepi sebuah khemah.
Memerhatikan
sekeliling, keadaannya kotor sekali. Bekas-bekas bungkusan polistren
makanan berselerakan. Kata mereka, bila waktu mandi, turunlah ke tandas
di bawah Dataran Merdeka.
Hampir sejam di situ, kami mula berasa tidak selesa. Cuaca pula panas terik.
Kelihatan di situ, beberapa pelajar bebas bergaul bebas antara lelaki dan perempuan.
Jumlah anggota
kumpulan dari kalangan kaum Cina ketika itu lebih ramai berbanding
Melayu. Tidak kelihatan pun pelajar atau orang dewasa kaum India.
Tertanya-tanya
kami siapa agaknya dalang di sebalik khemah-khemah itu sehingga ada
mahasiswa yang sanggup berpanas dan berhujan sedangkan rakan-rakan
sebaya mereka sedang bertungkus lumus mengulang kaji pelajaran bagi
menghabiskan pengajian.
Sudah tentu tidak menghairankan kebanyakan mereka di situ merupakan mahasiswa yang mendapat keputusan rendah atau corot.
Sedang
memerhatikan lagi gelagat mereka, salah seorang pelajar memperkenalkan
diri sebagai Din dari UPSI memberitahu, mereka sendiri tidak tahu sampai
bila akan berada di Dataran Merdeka.
''Kita akan
berada di sini sampai sudah bosan. Bila dah bosan kita balik. Duduk
lama-lama pun tak guna dan memenatkan sebab panas, lebih-lebih lagi
kalau duduk di dalam khemah waktu tengah hari," katanya.
Seorang lelaki dalam usia 60-an yang katanya dari Melaka memberitahu kami: ''Ah, hapuskan sahaja PTPTN, duit Petronas kan ada."
Lelaki ini
dalam aksinya berjubah hijau seolah-olah menjadi pengawal di situ yang
turut menimbulkan tanda tanya daripada orang ramai yang lalu lalang
kerana dia bukannya muda lagi.
Kami kemudian
meninggalkan Dataran Merdeka menuju ke masjid berdekatan. Dan kelmarin,
kami dikhabarkan Dataran Merdeka tidak ada lagi kelibat kumpulan
terbabit.
Syabas diucapkan kepada pasukan penguat kuasa DBKL yang begitu tegas menanggalkan khemah-khemah pelajar dan kumpulan terbabit.
Sebenarnya, kalau
daripada pengamatan mata kasar, manfaat PTPTN banyak menguntungkan
pelajar Melayu. Namun jika dikaji secara berfakta, faedahnya begitu
mencurah- curah kepada pelajar bukan Melayu.
Ini
kerana sehingga 29 Februari lalu, seramai 11,764 peminjam/penerima
biaya PTPTN telah diluluskan pengecualian bayaran balik
pinjaman/pembiayaan pendidikan kerana mendapat Ijazah Sarjana Muda Kelas
Pertama atau setaraf dengannya. Ia melibatkan jumlah pelupusan
pembiayaan pendidikan sebanyak RM339.07 juta.
Kalau dilihat
rekod peminjam yang diluluskan pengecualian bayaran balik mengikut kaum
setakat ini, sejumlah 2,347 orang adalah pelajar Melayu dengan amaun
RM47. 2 juta.
Tetapi pelajar Cina, bilangannya ialah 8,818 orang dengan amaun pengecualian bayar balik PTPTN RM274.2 juta. Inilah hakikatnya.
Rekod pelajar
Cina di universiti ialah mereka fokus kepada pembelajaran. Mereka sedar
harapan menggunung ibu bapa. Mereka tahu jika tak memperoleh CGPA yang
baik, sukarlah untuk mencari kerja yang baik dan lumayan gajinya.
Pada awal
1990-an, pendidikan merupakan sesuatu yang 'mahal' kerana pada era itu
tidak ramai yang mampu untuk melanjutkan pengajian ke tahap tertinggi.
Jika tidak ada
biasiswa atau tajaan, harapan seseorang khususnya orang Melayu dan
bumiputera untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi amat
tipis sekali.
Kemudian
apabila PTPTN ditubuhkan bagi memberikan pinjaman kepada semua kaum di
negara ini, berduyun-duyunlah anak Malaysia tanpa mengira keturunan
dapat melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda.
Bagi Pensyarah
Perhubungan Antarabangsa Sekolah Sains Sosial Universiti Malaysia Sabah
(UMS), Prof. Madya. Dr. Mohd. Noor Yazid, Perkara 153 Perlembagaan
Persekutuan telah menjelaskan bagaimana Kerajaan Pusat perlu melindungi
kepentingan kedudukan keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal
Malaysia yang secara kumpulannya dirujuk sebagai bumiputera.
''Itu
termasuklah kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan
pendidikan awam yang dalam hal biasiswa kepada bumiputera seperti sudah
diliberalkan," tegasnya.
Jelasnya, jika
mahu memansuhkan PTPTN, ia bermakna setiap bumiputera perlu diberikan
biasiswa sebagaimana yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan.
"Pada era
Allahyarham (Perdana Menteri kedua) Tun Abdul Razak Hussein dulu perkara
itu telah dilaksanakan dan mungkin bagi memberi keadilan saksama kepada
kaum- kaum lain, PTPTN diperkenalkan bagi memberi kemudahan pinjaman
pengajian di peringkat universiti. "Tapi malangnya, ada pihak cuba
mempolitikkan isu ini," katanya.
Meninggalkan
Dataran Merdeka Jumaat lalu, kami berkongsi pengalaman memikirkan apa
sebenarnya matlamat segelintir pelajar terbabit menyuarakan bantahan
terhadap PTPTN.
Kami pernah
berada di universiti sekitar era 90-an. Dan ketika itu kami memang
'dahagakan' PTPTN - di sebalik kesedaran tinggi akan harapan menggunung
ibu bapa yang hidupnya susah untuk melihat anaknya meraih segulung
ijazah.
Sumber : www.utusan.com.my
Penulis :
ZULKIFLI JALIL dan TERMIZI CHE ANUAR