KOTA KINABALU, 19 April - Tokoh veteran Sabah Tan Sri Abdul
Ghani Gilong berkata Gagasan 1Malaysia adalah idea terbaik ke arah
mewujudkan sebuah negara Malaysia yang bersatu dan berjaya.
Abdul Ghani yang pernah berkhidmat sebagai menteri persekutuan sehingga
tahun 1978, turut mengagumi ketokohan Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Tun Razak yang disifatkannya sebagai pemimpin yang mahu mendengar suara
rakyat.
"Secara peribadi saya mengagumi beliau sebagai perdana menteri yang
baik," kata Abdul Ghani, 79, dalam temu bual dengan Bernama di
kediamannya di Bukit Bendera di sini.
Beliau berkata gagasan 1Malaysia dan program transformasi nasional
adalah idea yang bijak dan faktor ini adalah asas beliau meramalkan
Barisan Nasional (BN) mampu beroleh kejayaan besar pada pilihan raya
umum ke-13 kelak di Sabah dan seluruh negara.
Ini ditambah dengan kepimpinan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman
yang berjaya memperkukuh kedudukan ekonomi dan mewujudkan suasana
politik yang kondusif untuk pelaburan dan pembangunan di Sabah.
Abdul Ghani, seorang daripada empat penerima Anugerah Tokoh Malaysia sempena sambutan Hari Malaysia tahun 2010.
"Konsep (1Malaysia) ini baik dan bijak kerana memberi kefahaman bahawa
kita adalah orang Malaysia yang mesti bersatu hati, bersatu padu dalam
membuat sesuatu yang terbaik untuk kebaikan negara termasuk mengelak
huru-hara dan rusuhan kaum," katanya.
POLITIK SABAH
Sejak berkecimpung dalam politik pada 1963, beliau pernah memegang
jawatan di peringkat persekutuan sebagai menteri hal ehwal Sabah,
menteri kehakiman dan pertahanan awam, menteri kerja raya dan menteri
pengangkutan.
Beliau memainkan peranan penting sebagai wakil Pertubuhan Kebangsaan
Kadazan Bersatu (UNKO) dalam dialog dan perundingan mengenai penubuhan
Malaysia.
Walaupun tidak lagi aktif dalam politik, menurut Abdul Ghani, beliau
sentiasa mengikuti perkembangan politik negara dan baginya, penerimaan
rakyat terhadap kerajaan di tahap baik termasuk di Sabah.
"Meskipun banyak kritikan yang berpunca dari parti pembangkang tetapi
pada pendapat saya akhirnya seperti biasa, orang akan kembali kepada BN
kerana orang (mereka) memikirkan apa yang dikatakan oleh parti
pembangkang adalah tidak betul. Soalnya apa yang mereka (pembangkang)
cakap, mereka tidak dapat tunai janji seperti yang dihebohkan," katanya.
Abdul Ghani berkata dari segi kemajuan Sabah, sebelum menyertai
Malaysia dan sesudah berada dalam Malaysia, beliau melihat memang jauh
perbezaannya.
"Pada masa dahulu, Sabah banyak jauh ketinggalan dari segi pembangunan
terutama dari segi infrastruktur - jalan raya dan sekolah - namun
sekarang banyak kemajuannya.
"Saya orang Sabah yang telah mengikuti perkembangan (politik) di negeri
ini termasuk hasrat negeri ini untuk menyertai Malaysia dan ketika itu
saya tahu macam mana kami pada masa dulu dan kini," katanya.
Abdul Ghani melihat isu 'Malaysian Agreement' sengaja dibangkitkan
pembangkang sedangkan rundingan untuk mencari penyelesaian yang terbaik
daripada setiap perkara antara pihak persekutuan dan negeri sentiasa
diadakan.
KENAPA BARISAN NASIONAL?
Berkaitan dengan ini juga, Abdul Ghani berkata rakyat Sabah perlu
mengekalkan kerajaan BN sebagai peneraju negara, "kerana hanya BN boleh
menunaikan janji dan kemahuan rakyat Sabah."
"Di Sabah sendiripun, banyak pembangunan yang dilaksanakan oleh
kerajaan negeri di bawah pimpinan Musa selain meletakkan kedudukan
kewangan negeri ini terus kukuh bersama transformasi pembangunan yang
amat ketara," katanya.
Tambahan pula, katanya, kini rakyat semakin banyak merasai pemberian
dan bantuan kerajaan untuk bersama melalui proses transformasi negara
seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia RM500, bantuan persekolahan RM100, dan
baucar buku RM200 masing-masing untuk seisi keluarga, murid sekolah
rendah dan pelajar sekolah menengah serta institusi pengajian tinggi.
"Program tranformasi negara ini sangat baik dan kita berharap untuk mencapai matlamat ini," katanya.
STRATEGI BN
Mengenai strategi BN untuk memastikan kemenangan pada PRU ke-13, Abdul
Ghani berkata BN harus memastikan semua janjinya ditunai.
"Ini kerana rakyat kini pandai menilai prestasi kerajaan...kalau mereka
merasakan tidak dipedulikan sudah tentu mereka akan berhijrah ke parti
lain khususnya parti pembangkang.
"Oleh itu kerajaan yang ada sekarang perlu jujur untuk memenuhi apa
yang diharapkan oleh rakyat supaya ia terus mendapat sokongan," katanya.
Beliau turut menasihatkan golongan pengundi muda supaya berfikir betul-betul dan melihat ke hadapan.
"Kalau tidak, mereka tidak dapat lihat seperti yang apa terjadi
(keadaan di negara lain) yang tidak menentu. (Selain itu) orang muda
harus diberi gambaran lebih jelas dan bermakna, mereka juga harus
mempunyai rasa tangungjawab sebagai rakyat negara ini.
"Saya seru mereka menyokong usaha kerajaan yang telah banyak memberi
kebaikan dan kesempurnaan hidup kepada negara kita yang merdeka ini.
Kelebihan kerajaan BN sekarang ialah kerana ada kesungguhan dan
kesediaan mendengar suara dan rungutan rakyat termasuk golongan muda,
dan seterusnya berusaha membetulkan keadaan." katanya.-- BERNAMA