KUALA LUMPUR – Tiga ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) yang didakwa
terlibat mempersendakan pemimpin negara dan Raja-raja Melayu semasa
Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara Rabu lalu
enggan menjawab secara jelas atau setidak-tidaknya menafikan yang mereka
terlibat dalam insiden itu.
Azmin Ali dan Tian Chua dari PKR serta Khalid Samad dari Pas sebaliknya
mempersoalkan kesahihan dakwaan serta kredibiliti Dr Rahman Kadir,
seorang pegawai perubatan yang mendedahkan mengenai kejadian pada hari
Rabu lalu itu.
Malah, Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR seperti biasa terus
menyalahkan Umno dan Barisan Nasional (BN) yang didakwanya
bertanggungjawab dalam menyebarkan perkara berkenaan.
"Pertama saya tidak tahu apa tohmahan yang dibuat oleh mereka namun
daripada maklum balas yang saya terima, ini jelas satu propaganda yang
amat jelik oleh Umno dan BN.
"Siapa doktor ini? Bagaimana pegawai perubatan boleh duduk dalam
Balairong Seri Istana Negara?" katanya kepada pemberita ketika ditemui
di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Dr. Rahman melalui akaun Facebook mendakwa Azmin, Naib
Presiden PKR, Tian Chua dan Ahli Parlimen Shah Alam, Khaled terlibat
dalam kejadian pada pagi hari Rabu itu.
Berikutan itu, Utusan Malaysia yang memuatkan berita tersebut di muka
depan dua hari kemudian mengundang reaksi pelbagai pihak, antaranya mahu
tindakan tegas diambil ke atas individu terlibat serta mencadangkan
sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuh bagi menyiasat insiden berkenaan.
Sementara itu, Tian Chua menolak hasrat pihak tertentu berhubung
penubuhan Suruhanjaya Diraja kerana mendakwa Dr Rahman tidak mempunyai
bukti kukuh atau saksi berkaitan kejadian tersebut.
"Bagaimana apabila seorang tuduh, tidak ada saksi, tidak ada
`substance' dalam tuduhan mereka dan tiba-tiba nak buat Suruhanjaya
Diraja, buat apa?" katanya, yang bercadang untuk mengambil tindakan
undang-undang ke atas Utusan Malaysia kerana menerbitkan berita itu
tanpa memeriksa kesahihannya.
Khaled pula mendakwa Dr Rahman mempunyai imaginasi tinggi apabila
berupaya "membayangkan" perbualan anggota Parlimen pembangkang di majlis
itu kerana kedudukan dalam Balairong Seri tidak membolehkan sebarang
individu biasa mendengar butiran perbualan.
"... atau mungkin juga Dr Rahman ini terkeliru kerana sebelum Raja-raja
Melayu dan pembesar negara masuk ke Balairong Seri, anggota Parlimen
pembangkang yang telah menunggu selama dua jam ada berbual mengenai
perkara lain," katanya.-SH