Selain mahu menghapuskan PTPTN (yang akan kita bincangkan dalam tulisan lain), Pakatan juga berjanji kononnya untuk mengarahkan
Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain
badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk
menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan
menghapuskan tol.
Janji
seperti ini sememangnya mampu menambat hati sesiapa sahaja kerana
setiap rakyat pasti mengidamkan kemudahan lebuhraya yang percuma tanpa
dikenakan sebarang tol tetapi pada masa sama lebuhraya berkenaan
mestilah serba lengkap dan perkhidmatannya berkelas pertama. Adalah amat
mustahil untuk memenuhi kedua-dua kehendak ini secara serentak. Namun
kerajaan Barisan Nasional berjaya melaksanakan sistem tol pada kadar
paling minima dan mengekang kenaikannya dari semasa ke semasa dengan
memikirkan beban rakyat.
Dianggarkan
kos untuk mengambil alih kesemua 19 syarikat konsesi lebuh raya yang
ada di Malaysia ketika ini akan menelan belanja antara RM50 billion
hingga RM100 billion. Apa akan tejadi kepada syarikat-syarikat ini jika
mereka menggunakan RM 100 bilion untuk mengambil alih kosensi ini dan
tidak dibenarkan mengutip tol? Jawapannya mudah sekali - BANGKRAP!
Jika
kerajaan membeli kosensi ini bermakna RM 100 bilion akan lebur begitu
sahaja. Ini bermakna separuh bajet negara akan dihabiskan untuk dibayar
kepada syarikat swasta dan kerajaan tidak mampu memberi bonus, membuat
infrastruktur baru dan menyediakan perkhidmatan kesihatan yang baik.
Jumlah
ini bukanlah satu angka yang sedikit untuk dibelanjakan oleh kerajaan
bagi memberikan tol percuma semata-mata. Dengan pendapatan kerajaan
hanya RM158.6 bilion (pada tahun 2009), melaksanakan janji ini akan
menelan kos hampir dua pertiga dari jumlah keseluruhan pendapatan
Kerajaan Persekutuan.
Ini
bermakna, jika ia dilaksanakan, defisit negara akan meningkat lebih 6.4
peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ia amat
bertentangan dengan fokus Kerajaan Barisan Nasional untuk menurunkan
kadar defisit negara kepada kadar 5.4 peratus daripada KDNK sedangkan
perancangan Pakatan Rakyat adalah untuk menambahkan kadar defisit.
Kos
pengambilalihan konsesi lebuhraya di antara RM50 billion hingga RM100
billion itu juga belum termasuk kos operasi dan penyelenggaraan
lebuhraya terbabit. Berdasarkan kos tahunan yang ditanggung oleh
syarikat PLUS ketika ini, kos penyelenggaraan rutin- RM235 juta, kos
pentadbiran-RM349 juta, melangsaikan hutang-RM410 juta. Secara
kasarnya, kos operasi dan pengurusan lebuhraya akan menelan
sekurang-kurangya RM2 billion setahun.
Dalam
memperkatakan isu pengambilalihan lebuhraya ini, perlu diingatkan juga
bahawa pada tahun lalu kerajaan Barisan Nasional pernah bercadang
mengambil alih lebuhraya PLUS melalui Khazanah Berhad dan KWSP pada
harga RM23 billion namun menyemak semula pelan berkenaan bagi
mengelakkan kenaikan kadar tol di masa depan.
Justeru,
amat jelas membuktikan bahawa janji Pakatan Rakyat dalam hal berkaitan
tol ini adalah suatu yang tidak tulen dan bukannya suatu inisiatif baru
untuk memenangi hati rakyat. Ia jelas sekadar untuk memanipulasikan
fakta sedia ada sahaja. Kerajaan Barisan Nasional juga tidak mahu
sewenang-wenangnya menggunakan wang KWSP untuk sebarang tujuan yang
konkrit kerana ia adalah wang rakyat khusus untuk simpanan mereka dihari
tua.
Walaupun
tidak menghapuskan tol secara menyeluruh, Kerajaan Barisan Nasional
dari semasa ke semasa sentiasa mengambil kira beban rakyat akibat kadar
tol lebuhraya. Justeru, beberapa langkah diambil untuk mengurangkan
beban rakyat dan pada masa sama tidak menambah defisit negara. Kerajaan
Barisan Nasional telah menurunkan kadar tol di Kampung Medan-Petaling
Jaya Selatan daripada RM1.60 kepada RM1.
Kerajaan
juga sudah memberi perakuan bahawa tidak akan ada kenaikan tol dalam
tempoh lima tahun lagi bagi empat lebuhraya PLUS manakala konsesi tol
bagi Lebuhraya Hubungan Timur-Barat menghubungkan Persilangan Salak
Selatan dan Persilangan Taman Connaught Kuala Lumpur, akan ditamatkan
berkuatkuasa Mei 2011.
Berbeza
dengan janji pihak pakatan pembangkang, pada Pilihanraya Umum 2008, DAP
dalam manifesto pilihanraya mereka telah berjanji untuk menghapuskan
Tol Sungai Nyior dan Jambatan Pulau Pinang. Namun setelah dapat
menubuhkan kerajaan, janji itu tidak dilaksanakan sehingga kini.
Sememangnya jelas terbukti bahawa janji mereka itu sekadar janji populis
tetapi amat mustahil untuk dilaksanakan. Akibatnya, rakyat yang ditipu.