Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan isteri, Shamsidar Taharin didesak
mengisytihar keseluruhan harta bagi membuktikan mereka tidak mempunyai
saham mencecah RM2 juta.
Bekas Setiausaha Sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, Anuar Shaari, 42,
berkata, ia adalah kerana semasa Azmin bekerja dengan Anwar pada 1992
hingga 1994, gajinya tidak melebihi RM2,000 sebulan.
Menurutnya, oleh sebab itu beliau mendesak Azmin menjelaskan dari mana
beliau mendapat saham dan wang tersebut dalam akaun pada waktu itu.
“Saya membuat laporan polis pada 17 November 2009 berhubung pemilikan
saham oleh Timbalan Presiden PKR dan isterinya. Saya juga telah
menyerahkan salinan dokumen asal,” katanya.
Katanya, Azmin tidak mungkin mempunyai wang sebanyak itu kerana
setahunya, isteri Azmin tiada kerja tetap dan tiada kerja sambilan lain.
Sebelum ini beberapa akhbar melaporkan Pengerusi Yayasan Pembangunan
Belia India Malaysia, SA Vickneswaran mendakwa memiliki dokumen
berkaitan urusan pembelian saham melibatkan Azmin dan isterinya,
Shamsidar termasuk iparnya, Jamal Taharin yang mencecah RM8.5 juta pada
awal 1990-an.
Anuar pada 2004 pernah menjadi Ketua Bahagian PKR Permatang Pauh juga
pernah bertugas sebagai Setiausaha Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail sebelum mengumumkan keluar parti PKR pada Mei 2007.