Setelah pelbagai dakwaan yang melingkari Ketua Pembangkang, Datuk
Seri Anwar Ibrahim terdedah termasuk terjerut leher sendiri berhubung
isu Israel baru-baru ini, Ketua Umum PKR itu umpama tubuh yang terbogel.
Menariknya pula Pas seperti kain sapu tangan yang mahu menutup apa
saja yang melibatkan Ketua Pembangkang berkenaan, namun ianya tidak
mampu menutup apa yang telah dibogelkan itu sebaliknya bakal memakan
diri Pas sendiri, kata bekas Setiausaha Sulit Anwar, Anuar Shaari.
Menurut beliau semua pihak nampaknya sudah tarik “handbrake” dalam
membela Anwar dan hanya Pas yang menjadi tempat pelindung kepada Anwar
dalam usaha mengekalkan dirinya sebagai pemimpin yang bebas daripada
sebarang kontroversi.
“Satu contoh yang mudah…Anwar seperti telah dibogelkan dan Pas itu
umpama kain, namun hanyalah sekadar kain sapu tangan. Banyak mana tempat
yang boleh ditutup. Tutup depan nampak belakang…tutup belakang nampak
depan pula. Tutup kiri nampak kanan dan tutup kanan terdedahlah pulak
sebelah kiri. Mana lagi tempat yang mahu ditutup.
“Sebab itu saya yakin, Pas akan terjerat dengan apa yang dibawa oleh
mereka itu dan hanya Pas tempat Anwar bergantung dalam usaha membebaskan
dirinya daripada pelbagai kemelut yang didakwa oleh pelbagai pihak,”
katanya.