JELI, 2 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak meminta rakyat Kelantan
memberi mandat kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk memerintah
negeri ini pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 bagi membolehkan BN
menyelesaikan masalah dihadapi rakyat selama di bawah pemerintahan Pas.
Perdana Menteri berkata kerajaan BN mampu menyelesaikan masalah
rakyat termasuk masalah bekalan air, masalah ladang rakyat, masalah
kemudahan asas dan masalah perumahan rakyat.
“Di
bawah kerajaan Barisan Nasional, InsyaAllah jika diberi mandat nanti,
kita jamin masalah air selesai, kita akan jamin masalah ladang rakyat
selesai, kita akan jamin kemudahan asas selesai, kita jamin perumahan
rakyat akan kita laksanakan,” katanya ketika berucap pada Majlis
Pemimpin Bersama Rakyat 1Malaysia di Universiti Malaysia Kelantan,
Kampus Jeli di sini hari ini.
Ucapan Perdana Menteri itu disambut dengan tepukan gemuruh oleh kira –kira 20,000 orang yang hadir pada majlis itu.
Perdana Menteri yang dalam lawatan kerja sehari ke negeri ini turut
melaungkan “Gelombang Merah” dalam mengajak rakyat Kelantan membuat
perubahan dengan memberi mandat kepada BN untuk kembali memerintah
negeri ini.
Najib berkata kerajaan BN akan mengubah landskap negeri ini dengan
pelbagai pembangunan yang menjadikan Kelantan membangun dan maju.
“InsyaAllah landskap Kelantan akan berubah tetapi tetap berpaksikan
kepada Islam, ilmu akhlaknya tetap kita pertahankan,” katanya.
Beliau berkata Pas terbukti tidak berupaya untuk menyelesaikan
masalah yang dihadapi rakyat walaupun sudah lebih 20 tahun memerintah
negeri ini, sejak 1990.
Katanya Pas tidak mempunyai agenda untuk membangunkan rakyat dan
negeri ini, sebaliknya apa yang diutamakan pemimpin itu ialah hanya
kemenangan pilihan raya.
“Kelantan…kita nak maju, orang Kelantan ramai cerdik pandai, inilah
tempat kita nak majukan umat Islam,” katanya, sambil meminta rakyat
memberi sokongan kepada Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri
Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam membawa perubahan di Kelantan.
Mustapa adalah anggota Parlimen Jeli dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan.
“Oleh itu, adik kakak sekelian, ambo (saya) nak pesan, kalau
sayangkan ambo, kena sokong Datuk Pa ini, Datuk Pa orangnya jurus dan
rajin, Datuk Pa, siang malam kerja,” katanya sambil menyatakan bahawa
Mustapa gigih membawa pelaburan ke Malaysia di mana tahun lepas sebanyak
RM105 bilion.
Perdana Menteri juga berkata penubuhan Universiti Malaysia Kelantan,
yang mendapat sokongan kuat daripada beliau, menunjukkan kerajaan BN
mengutamakan ilmu untuk rakyat.
Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Bantuan Rakyat 1Malaysia kepada penduduk di Parlimen Jeli. -UMNO Online