AIDCNews – 27/02/12 –
Wanita yang turut ditahan bersama Dr Badrul Amin di sebuah hotel awal
pagi kelmarin tiba di pejabat Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP)
kira-kira jam 3.05 petang ditemani oleh seorang ahli keluarga yang tidak
dikenali untuk memberi keterangan berkenaan kes khalwat tersebut.
Sementara itu, pasangannya, Badrul Amin seperti dilaporkan Antarapos
tiba lebih awal kira-kira jam 2.40 petang dengan berjaket hitam diiringi
isteri beliau dan peguamnya, Ahmad Nizam Abbdul Hamid yang juga aktivis
PKR Pahang.
Mereka telah dipanggil oleh JAIP untuk memberi keterangan bagi membantu
siasatan JAIP di bawah Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan
Adat Resam Melayu Pahang 1982.
Badrul Amin seperti dilaporkan
Mstar menuduh kesnya itu sebagai perangkap terancang yang didalangi UMNO
Menurutnya, suami wanita berkenaan yang dikenali sebagai Faizal turut
terlibat dalam usaha menganiaya dan menghancurkan karier politiknya.
“Faizal yang merupakan suami kepada wanita berkenaan dipercayai terlibat dalam rancangan untuk memerangkap saya.
“Malah saya diberitahu oleh bapa wanita itu bahawa seorang pemimpin Umno
menghubungi dia bagi mendapatkan nombor telefon bimbit Faizal. Jadi
saya percaya semua ini ada pertalian dan hubung kait bagi memerangkap
saya,” katanya.
Tuduhan Badrul itu turut dilaporkan FMT yang mendakwa
suami wanita itu, samseng, polis, pejabat agama, dan blogger-blogger UMNO turut terlibat dalam konspirasi itu.
“Peristiwa yang berlaku mungkin dirancang oleh suami wanita tersebut dan
Umno membuat persiapan yang cukup lengkap membabitkan (samseng, polis
dan pejabat agama). Perkara ini kemudiannya dimainkan secara sensasi
oleh blogger-blogger Umno.
“Laporan akhbar turut berniat jahat dan wujud unsur penganiayaan ke atas saya oleh suami wanita berkenaan.
“Saya tidak fikir kawan-kawan di dalam PKR terlibat. Mereka adalah
sahabat seperjuangan saya. Saya akan jawab selanjutnya berhubung hal ini
selepas bertemu dengan JAIP pada petang ini,” katanya
Menjawab mengenai arahan kerajaan negeri yang memberi cuti kepadanya,
Badrul yang juga Pengarah Komunikasi Pejabat Menteri Besar Selangor
menjelaskan perkara itu sudah terlintas dalam fikirannya sebelum arahan
dikeluarkan.
Malah beliau turut mempertimbangkan untuk bercuti dari Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR sehingga kes membabitkannya selesai.
“Saya juga mempertimbangkan bercuti dari MPP PKR sehingga selesai kes.
“Setakat ini saya belum ada keputusan. Dan jika saya bercuti ia adalah
atas pilihan saya sendiri tanpa tekanan daripada mana-mana pihak,”
jelasnya.