Bumi Palestin dimuliakan sejarahnya oleh Nabi Ibrahim A.S. Bapa
kepada para nabi selepasnya yang diiktiraf oleh semua penganut agama
samawi. Nabi Muhammad S.A.W. dilahirkan daripada zuriatnya yang
dihantar ke Makkah, yang dianugerah Allah kepada Ibrahim A.S. kerana
jasa perjuangannya yang besar menentang syirik dan zalim oleh kuasa
terbesar dunia dizamanya iaitu kerajaan Babylon yang diperintah oleh
Raja Namrud.
Bumi Palestin adalah salah satu daripada tiga tanah suci bagi umat
Islam, selepas Makkah yang dibuka oleh Ibrahim A.S. dan Madinah tempat
Hijrah Rasulullah S.A.W. Palestin dimuliakan kerana ramainya para Rasul
dilahirkan di situ dan berpijak di atasnya kaki para anbiya’ dan
banyak darah para syuhada daripada kalangan Nabi dan ulama, kerana
dibunuh oleh bangsa Yahudi dengan zalimnya, menyebabkan mereka dilaknat
Allah sehingga hari Qiamat. Allah juga menjadikan kiblat pertama bagi
umat Islam di bumi Palestin. Di sini juga tampat berakhirnya Isra’ dan
bermulanya Mikraj Rasulullah S.A.W. ketika dijemput menjadi tetamu
Allah. Maka yang layak memakmurkan Palastin ialah mereka yang beriman
dan budiman.
Agama Islam mewajibkan penganutnya memegang amanah memelihara bumi
Palestin dan tidak melarang penganut Yahudi dan Kristian melakukan
ibadat mengikut agama mereka dan mengunjungi tempat suci mereka. Sejarah
membuktika hanya pemimpin Islam sahaja dapat menunaikan amanah
memakmurkan bumi Palestin dengan memberi hak yang adil kepada semua.
Kejayaan tentera Islam di zaman Khalifah Umar bin Al Khattab R.A.
membebaskan Palestin daripada penjajahan Romawi disambut oleh Paderi
besarnya dengan meminta Khalifah Umar datang menyaksikannya. Maka
Khalifah Umar datang sehingga mengunjungi gereja besarnya, kemudian
dimeteraikan perjanjian yang memberi hak yang adil kepada semua, kerana
selama ini penjajah Romawi Byzantin yang beragama Kristian mazhab
Ortodok, tidak melayani mereka yang tidak semazhab dengannya dan
kerajaan Yahudi pula menzalimi mereka yang tidak seagama dengannya. Hal
yang sama berlaku dalam era kelemahan kerajaan Islam, sehingga tentera
salib menakluk Palestin. Keadaan menjadi baik semula, setelah Sultan
Salahuddin Al Ayyubi daripada bangsa Kurdis dapat mengalahkan tentera
Salib yang zalim dan membebaskan semula bumi Palastin. Lalu melayani
semua pengunjungnya dengan adil.
Di zaman mutakhir, malapetaka menimpa bumi Palestin dengan
memuncaknya keganasan, setelah Palestin dirampas dengan ganas oleh
penjajah Barat yang menyimpan dendam terhadap Islam dan mengambil
kesempatan daripada kelemahan umat Islam Arab yang memperkecilkan Islam
dan membesarkan kebangsaan Arab sehingga melebihi Islam dan
mengatasinya. Dalam pembahagian tanah air yang dijajah di kalangan
penjajah barat, maka Palastin jatuh ke dalam bahagian penjajahan
British. Perjanjian Balfore dimeteraikan di antara pemimpin Zionis
Yahudi dangan Menteri Luar British, Lord Balfore bagi menyerahkan bumi
Palastin kepada golongan Zionis untuk mendirikan negara kebangsaan
Yahudi dinamakan Israel. Kalangan penganut mazhab Ortodok Yahudi
menentangnya dan memberi amaran bahawa tindakan ini bercanggah dengan
ajaran mereka dan boleh menguburkan bangsa Yahudi. Kalangan sekular yang
memisahkan agama Yahudi daripada politik melakukan kesalahan besar
ini, semata-mata menegakkan semangat kebangsaan dengan alasan sejarah
bohong, bagi negara agung Israel yang pernah dipimpin oleh Nabi Sulaiman
A.S. sehingga menakluk dunia.
Negara bernama Israel sebenarnya tidak wujud dalam peta dunia sejak
Allah mencipta bumi. Negara ini diwujudkan secara haram oleh kuasa besar
dunia selepas perang dunia kedua, bagi mengotakan perjanjian Balfore
yang melibatkan British yang dibantu oleh zionis Yahudi, sejak perang
dunia pertama lagi. Negara ini hukumnya haram mengikut hukum agama dan
undang-undang antarabangsa ciptaan manusia. Ini kerana ia merampas
daripada penduduk asalnya dan menghalau sebahagian besar daripada
mereka. Negara kuasa besar dunia yang menjajah memejam mata bagi
menghilangkan sifat perikemanusiaan mereka untuk melakukan jenayah
bersejarah ini demi kepentingan mereka. Bahkan sebahagian pemimpin
negara itu dibantu oleh wang dan media golongan zionis untuk berkuasa.
Dalam pertarungan politik dan ekonomi antarabangsa yang didalangi
oleh kuasa besar dunia pula, menjadikan negara haram Israel rakan
strategik untuk menjaga kepentingan mereka dirantau paling banyak
membekalkan sumber tenaga kepada dunia, dan juga bertindak menjadi polis
bagi pihak Barat terhadap dunia Islam.
Perkara ini ditambah lagi dengan sikap tidak saksama negara besar
yang menghalalkan negara haram Israel memiliki senjata pemusnah yang
diharamkan kerana tanpa perikemanusiaan. Israel sudah membinanya sejak
tahun enam puluhan lagi dan menghalang dengan apa cara sahaja bagi
melindungi jenayah kemanusiaan yang dilakukannya. Walaupun melalui badan
antar bangsa yang paling besar dan berpengaruh, sehinggalah menggunakan
kuasa veto paling zalim.
Bagi umat Islam sudah menjadi perkara wajib membebaskan Palestin
sepenuhnya dan membela saudara mereka yang dizalimi, sehingga menjadi
fardu ain kepada penduduk tempatan dan yang berjiran dan wajib mengikut
kedudukan masing-masing di tempat yang jauh. Haram menerima kewujudan
negara haram. Maka PAS yang berdasarkan Islam menolak penyelesaian wujud
dua negara, satu untuk rakyat Palestin dan satu lagi bernama Israel
untuk Yahudi Zionis. Bagi kami, hanya satu negara Palestin sahaja bagi
penduduknya yang berhak.
Walau pun banyak kalangan negara Arab menerima penyelesaian secara
mewujudkan dua negara, ketahuilah bahawa Palestin bukan hak orang Arab
sahaja. Palestin adalah hak umat Islam seluruhnya. Kalangan penganut
agama Yahudi yang kuat berpegang dengan agama Yahudi menolak wujudnya
negara Israel dan menghukumnya dosa besar kerana tindakannya adalah
menggali kubur untuk kaum Yahudi sendiri, yang disedari melakukan
jenayah dosa besar, membasahi bumi Palastin dengan darah para anbiya dan
ulama yang soleh.
Bagi Penganut Islam, bacalah firman Allah dalam beberapa surah. Di antaranya firman Allah:
وَضُرِبَتْ عَلَيْهِمُ الذِّلَّةُ
وَالْمَسْكَنَةُ وَبَاءُوا بِغَضَبٍ مِنَ اللَّهِ ذَلِكَ بِأَنَّهُمْ
كَانُوا يَكْفُرُونَ بِآَيَاتِ اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ
بِغَيْرِ الْحَقِّ ذَلِكَ بِمَا عَصَوْا وَكَانُوا يَعْتَدُونَ (61 )
البقرة.
61. Lalu ditimpahkanlah kepada mereka nista dan kehinaan, serta
mereka mendapat kemurkaan dari Allah. hal itu (terjadi) karena mereka
selalu mengingkari ayat-ayat Allah dan membunuh para nabi yang memang
tidak dibenarkan. demikian itu (terjadi) karena mereka selalu berbuat
durhaka dan melampaui batas.
Firman Allah:
إنَّ الَّذِينَ يَكْفُرُونَ بِآَيَاتِ
اللَّهِ وَيَقْتُلُونَ النَّبِيِّينَ بِغَيْرِ حَقٍّ وَيَقْتُلُونَ
الَّذِينَ يَأْمُرُونَ بِالْقِسْطِ مِنَ النَّاسِ فَبَشِّرْهُمْ بِعَذَابٍ
أَلِيمٍ (21) أُولَئِكَ الَّذِينَ حَبِطَتْ أَعْمَالُهُمْ فِي الدُّنْيَا
وَالْآَخِرَةِ وَمَا لَهُمْ مِنْ نَاصِرِينَ (22 ) آل عمران .
21. Sesungguhnya orang-orang yang engkar kepada ayat-ayat Allah
dan membunuh para nabi yang memang tak dibenarkan dan membunuh
orang-orang yang menyuruh manusia berbuat adil, maka gembirakanlah
mereka, bahawa mereka akan menerima siksa yang pedih.
22. Mereka itu adalah orang-orang yang lenyap (pahala)
amal-amalnya di dunia dan akhirat, dan mereka sekali-kali tidak
memperoleh penolong.
Bagi penganut Islam yang mendirikan solat lima waktu yang diwajibkan,
memanjatkan doa pada tiap-tiap rakaat sembahyangnya supaya dijauhkan
bersifat golongan yang dimurkai Allah, maksudnya seperti golongan Zionis
Yahudi tersebut.
Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang,
Presiden PAS
Sumber: Harakah






