
PETALING JAYA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda Shuhaimi Shafiei hari ini menafikan sekeras-kerasnya dakwaan yang Raja Petra Kamaruddin yang mengaitkannya dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah di dalam skandal curi pasir di Selangor.
Menurut Shuhaimi, terdapat banyak kesalahan fakta di dalam penulisan Raja Petra menerusi artikel bertajuk “The Selangor Sand Mining Scandal” di laman webnya ‘Malaysia Today’.
Katanya lagi, beliau menyifatkan artikel tersebut sengaja ditulis dengan niat jahat untuk memberikan gambaran yang negatif terhadapnya dan ADUN Batu Caves, Amiruddin Shari.
“Terdapat beberapa fakta di dalam artikel tersebut yang diputarbelitkan untuk memberi gambaran yang saya dan saudara Amiruddin Shari terbabit dengan salah laku rasuah.
"Di dalam artikelnya Raja Petra menuduh saya dan Amiruddin terlibat dengan sebuah syarikat bernama Double Dignity (M) Sdn Bhd dengan tujuan mendapatkan kerja-kerja membersihkan pasir dari Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) secara tidak sah.
"Selain itu, beliau juga menuduh kami sebagai ahli politik yang menerima rasuah dan dalang kepada aktiviti kecurian pasir yang berlaku di Selangor," kata Shuhaimi.
Di dalam sidang media di Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini, Shuhaimi menjelaskan yang beliau telah dijemput untuk menganggotai Lembaga Pengarah Double Dignity pada Mei 2009 dengan menerima elaun bulanan sebanyak RM5000.
Menurutnya lagi, sejak beliau menyertai syarikat itu beliau hanya menerima enam kali bayaran elaun bulanannya iaitu dari bulan Jun hingga Disember 2009 manakala Amiruddin menerima tiga kali iaitu dari Oktober hingga Disember 2009.
Tambah Shuhaimi, gambaran yang cuba diberikan oleh Raja Petra seolah-olah perlantikannya ke Lembaga Pengarah adalah sebagai balasan untuk mendapatkan kontrak pembersihan pasir dari KSSB adalah tidak tepat kerana nyata perlantikannya telah dibuat lebih awal dari tarikh yang dinyatakan oleh Raja Petra di dalam artikelnya.
Kata Shuhaimi, beliau sangat yakin yang Raja Petra menulis artikel tersebut dengan niat jahat untuk memberi gambaran buruk sedangkan realitinya nyata berbeza.
Katanya lagi, baliau turut yakin Raja Petra kini bersekongkol dengan anasir-anasir Barisan Nasional (BN) untuk cuba mengalihkan perhatian rakyat dari skandal NFC yang semakin memuncak dengan niat untuk menimbulkan keraguan dan ketidakakinan rakyat kepada Pakatan Rakyat.
“Saya juga ingin menyatakan bahawa kes ini telah disiasat sepenuhnya oleh SPRM dan sehingga kini tiada sebarang tindakan lanjut. Saya juga dimaklumkan secara peribadi oleh pegawai penyiasat SPRM bahawa tuduhan ini tidak benar dan tidak melibatkan salahguna kuasa,” kata Shuhaimi.
“Ini bukanlah kali pertama BN dan mereka yang bersekongkol seperti Raja Petra mengambil beberapa insiden dan diputarbelit untuk memfitnah Pakatan di Selangor.
"Kami mencabar BN dan Raja Petra untuk menyenaraikan semua keputusan yang telah dipengaruhi termasuklah kawasan-kawasan balak, pasir dan tanah yang telah diluluskan untuk kepentingan peribadi kami jika benar kami telah menyalahgunakan kuasa kami,” katanya.
“Tuduhan yang hendak dibuat mestilah mempunyai bukti yang kukuh seperti apa yang dibawa oleh PKR seperti dalam kes NFC.
“Jika tidak, ini hanyalah satu lagi fitnah bersiri untuk menggoyangkan keyakinan rakyat kepada Pakatan Rakyat,” kata Shuhaimi.-KlPos







![DSCN1365[1]](http://kedahan69ers.com/wp-content/uploads/2012/02/DSCN13651.jpg)


