 |
| Gambar Hiasan |
Kenyataan Anwar Ibrahim seperti dilaporkan di Wall Street Journal 26
Januari 2012 mengundang kontroversi. Antara lain menyebut “I support all
efforts to protect the security of the state of Israel” dan dalam
terjemahan mudahnya “saya sokong semua usaha untuk melindungi
keselamatan negara Israel”. Kenyataan tersurat ini sudah jelas untuk
difahami dan analisis tersirat lebih memperjelaskan maksud ungkapannya.
Sepatutnya Anwar menyebut begini “I support all efforts to protect
the security of the state of Palestine” atau terjemahan mudahnya “saya
sokong semua usaha untuk melindungi keselamatan negara Palestin”. Kalau
ini dibuat orang tidak pertikaikan kenyataan dan pendiriannya.
Pertama, ia terbit di Wall Street Journal yang berpengaruh bukannya
akhbar Utusan Malaysia yang sering memeningkan kepalanya. Kalau nak
saman tidak betulnya kenyataan itu, samanlah Wall Street Journal
bukannya Utusan Malaysia. Utusan Malaysia hanya melaporkan apa yang
terjadi. Kalau ia memberi reaksi yang tidak menguntungkan kepadanya itu
bukan salah Utusan Malaysia tetapi salah diri sendiri.
Kedua, sejak Anwar dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan
kemudiannya UMNO lagi, orang mengetahui pendirian Anwar terhadap isu
Palestin amat jelas dan terang benderang. Penjelasan daripada Ketua
Penerangan Parti Keadilan Rakyat Dr. Mohd Nur Manuty yang juga bekas
Presiden ABIM lebih mengelirukan kerana Duta Palestin di Kuala Lumpur
tidak boleh menerima kenyataan Anwar dan Dr. Azzam Tamimi seorang tokoh
gerakan Islam yang gigih memperjuangkan isu Palestin tidak boleh
bersetuju dengannya. Dr. Mohd. Nur Manuty hanya memberi justifikasi
ketuanya tanpa asas yang kukuh.
Anwar tahu bahawa keselamatan negara Israel banyak bergantung kepada
sokongan Amerika Syarikat. Pelobi zionis sentiasa memastikan sebarang
calon untuk menjadi Presiden Amerika Syarikat mesti akur dengan strategi
bahawa keselamatan negara Israel mesti dilindungi. Tidakkah kenyataan
Anwar ini memberi maksud tersirat yang jelas.
Semua orang tahu Anwar rapat dengan Paul Wolfowitz yang pernah
menjawat Timbalan Setiausaha Pertahanan AS dan dikenali sebagai arkitek
Perang Afghanistan/Iraq. Anwar juga rapat dengan Shaha Ali Riza teman
wanita Wolforwitz dan pernah menulis surat kepada Robin Celeveland iaitu
penasihat undang-undang Wolfowitz di Bank Dunia pada 1 Oktober 2006
yang meminta agar Shaha Ali Riza dipindahkan ke Foundation For The
Future di mana Anwar menjadi orang kuatnya.
Anwar juga ada hubungan dengan Martin Indyk bekas Duta Amerika
Syrikat ke Israel dan bekas Timbalan Pengarah Penyelidikan American
Israel Public Affair Committee (AIPAC) suatu kumpulan pelobi pro-Israel
di Amerika Syarikat. Anwar rapat dengan Indyk dan sering terlibat
bersama dengan program-program anjuran Saban Center for Middle East
Policy Center, Institut Brookings.
Anwar juga rapat dengan James Wolfenshon, bekas Presiden Bank Dunia
yang berasal dari keluarga Yahudi di England. Pada 2005, Setiausaha
Negara Amerika, Condoleeza Rice melantik Wolfensohn dalam utusan khas di
Gaza bagi membantu memperkuatkan kedudukan Israel.
Semasa menjadi Presiden Bank Dunia, James Wolfensohn telah melantik
Anwar (ketika itu Menteri Kewangan) sebagai ahli Committee International
Finance Corporation, World Bank/IMF pada 1997. Pada 24 Julai 2008,
Wolfensohn bersama dua tokoh Yahudi (Paul Martin dan Michel Camdessus)
menggesa agar pertuduhan liwat ke atas Anwar digugurkan.
Anwar juga amat rapat dengan William Cohen berasal dari keluarga
Yahudi di Rusia yang merupakan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat di
bawah pentadbiran Bill Clinton. Cohen kemudian menjemput Anwar secara
peribadi ke Pentagon, Virginia pada 16 April 1998. Pada tahun 1999,
Cohen mengecam Malaysia dan menggesa pertuduhan liwat ke atas Anwar
digugurkan.
Beberapa bukti yang disebutkan memadai untuk kita memahami maksud
tersirat kenyataan Anwar itu. Pertama Anwar bercita-cita untuk menjadi
Perdana Menteri Malaysia. Kedua, Anwar menghadapi isu integriti dan
kredibiliti yang serius mengenai masalah peribadinya. Kata pepatah,
kalau tidak berada-ada masakan tempua bersarang rendah. Sudah tentu ada
maksud tersirat kenyataan itu dibuat.
Anwar tahu bahawa masalah orang Palestin amat memedihkan. Kerajaan
Malaysia mengambil sikap yang jelas mengenai isu Palestin. Semasa Anwar
menjadi Timbalan Perdana Menteri dulu pun sikap yang sama diambil.
Apakah isu Palestin dulu tidak sama dengan sekarang.
Apa maknanya kenyataan Anwar untuk melindungi keselamatan negara
Israel sedangkan keadilan tidak berlaku terhadap orang Palestin sendiri.
Banyak organisasi sukarela membantu rakyat Palestin dalam pelbagai
cara. Pekerja NGO ini sanggup berkorban untuk membantu saudara seagama
mereka di Palestin. Apakah Anwar tidak rasa sensitif dengan prihatin
mereka ini. Pas umpamanya tetap istiqamah memperjuangkan nasib orang
Palestin. Haji Hadi Awang sendiri terlibat dalam jawatankuasa
memperjuangkan nasib orang Palestin. Apakah Anwar tidak tahu pendirian
dan penglibatan orang Pas sekian lama. Sebab itu pendirian ulama Pas
amat kritikal mengenai kenyataan Anwar ini.
Anwar janganlah membuat dalih-dalih baru untuk menjustifikasikan
kenyataannya termasuk di BBC. Anwar harus bersikap jujur kepada dirinya
dan kepada umat Islam. Anwar boleh membohongi seseorang dalam suatu masa
tetapi Anwar tidak boleh membohongi semua orang pada setiap masa. Orang
yang berpelajaran, berfikiran dan bersikap terbuka terhadap sesuatu
isu, mereka mengkaji tidak saja apa yang tersurat tetapi meneliti apa
yang tersirat.
Anwar dulu berpendirian bahawa sebagai pemimpin kita kena bersih dan
kelihatan bersih. Orang yang pernah berada dalam kepimpinan Anwar masih
berpegang dengan prinsip itu. Bila kredibiliti Anwar dicabar dengan
pelbagai tuduhan yang serius, orang ini mengharapkan Anwar membersihkan
namanya. Ia tidak berlaku. Ini menyebabkan ramai kawan Anwar memilih
untuk meninggalkannya.
Anwar memang pandai bercakap dan bijak berpolitik. Tetapi
kawan-kawannya pun boleh menilai dengan mengambil pendirian tentang apa
yang Anwar cakapkan dan helah politik yang Anwar buat. Kecenderungan
Anwar sekarang melatih generasi baru yang masih belum tahu siapa Anwar
sebenarnya. Lama kelamaan bila mereka tahu siapa Anwar sebenarnya,
mereka pula meninggalkan perjuangannya.
Kembalilah kepada Allah. Allahlah tempat kita mendapat pedoman dan
petunjuk. Dengan manusia kita boleh berbicara dengan segala helah tetapi
dengan Allah, amat mengetahui segalanya- utusan
Sumber:
AIDC