KUALA LUMPUR, 30 Jan – Duta Palestin ke Malaysia Abdelaziz Abughoush
menyifatkan sebagai “pelik dan ganjil” kenyataan Datuk Seri Anwar
Ibrahim dalam temubual dengan Wall Street Journal bahawa beliau
menyokong penuh usaha melindungi keselamatan Israel.
“Kami terkejut dan terperanjat dengan kenyataan pelik itu bahawa
beliau menyokong keselamatan Israel,” katanya dalam kenyataan di sini
Isnin.
Abughoush berkata oleh kerana Palestin menjadi isu utama bagi semua
umat Islam, dan Malaysia pula menjadi pendokong utama sokongan terhadap
perjuangan rakyat Palestin, maka adalah pelik dan ganjil apabila seorang
pemimpin beragama Islam dari negara ini membuat kenyataan demikian.
“Kami tak tahu siapa sebenarnya yang memerlukan perlindungan
keselamatan kerana hakikatnya Israel memiliki lebih 200 jenis senjata
nuklear serta angkatan tentera yang dilengkapi senjata canggih.
“Kami tidak pasti adakah jaminan keselamatan perlu diberi kepada
penakluk atau rakyat Palestin yang ditakluki, yang ditindas saban hari
serta berdepan dengan tindakan yang bercanggah dengan undang-undang dan
perbuatan tidak berperikemanusiaan oleh kumpulan penakluk, yang
mencabuli undang-undang kemanusiaan dan antarabangsa serta tidak
menghiraukan usaha masyarakat antarabangsa untuk mewujudkan keamanan dan
kestabilan di Timur Tengah,” katanya.
Abughoush mengucapkan terima kasih kepada Menteri Luar Datuk Seri
Anifah Aman kerana menyatakan pendirian kerajaan Malaysia tentang
perkara itu.
“Kami yakin kerajaan dan rakyat Malaysia yang berbudi tinggi akan
terus memberi sokongan padu kepada rakyat Palestin serta perjuangan suci
mereka,” katanya.
Dalam kenyataannya pada Ahad, Anifah berkata tindakan yang
disifatkan oleh Israel sebagai langkah yang perlu diambilnya untuk
memelihara keselamatan negara itu termasuk melancarkan serangan
besar-besaran terhadap Gaza; menangkap dan menahan rakyat Palestin tanpa
bicara; membunuh rakyat Palestin termasuk pemimpin mereka melalui
serangan misil dan bom; dan melaksanakan dasar bersifat menindas dan
menekan rakyat Palestin seperti merampas rumah mereka dan membenarkan
rakyat Israel membina penempatan haram di tanah milik penduduk Palestin.
Beliau berkata kerajaan Malaysia bukan saja tidak pernah menyokong
sebarang tindakan-tindakan itu, malah berganding bahu dengan masyarakat
antarabangsa untuk mengkritik dan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan
tersebut yang jelas mencabuli undang-undang antarabangsa.
Sumber:
AIDC